Jamawi (tengah) tiga dari kanan bergambar kenangan bersama tetamu kehormat selepas selesai sesi menandatangani MoU di antara Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sabah yang diwakili oleh Dr Zul Bahar (dua dari kiri) dengan Fresh Farm Berhad yang diwakili oleh Dr. QuazaNizamuddin (dua dari kanan).
KOTA KINABALU: Dua memorandum persefahaman (MoU) yang dimeterai hari ini dijangka menjadi pemangkin baharu kepada pembangunan ekonomi Sabah menerusi projek pembangunan bercampur di Tuaran dan cadangan pembangunan industri tenusu berskala besar di Keningau.
Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, Datuk Jamawi Jaafar berkata, inisiatif itu selaras dengan aspirasi Halatuju Sabah Maju Jaya 2.0 (SMJ 2.0) yang menyasarkan peningkatan Keluaran Dalam Negeri Kasar (GDP) negeri daripada RM85 bilion ketika ini kepada RM120 bilion setahun.
Beliau berkata, sasaran itu memerlukan usaha bersepadu melibatkan Kerajaan, sektor swasta, agensi berkanun dan rakyat Sabah, selain mempercepatkan kepelbagaian ekonomi daripada pergantungan kepada sumber asli kepada industri bernilai tambah tinggi.
“Ini bukan sekadar angka di atas kertas, tetapi satu wawasan besar yang memerlukan usaha bersepadu daripada kerajaan, sektor swasta, agensi berkanun dan rakyat Sabah seluruhnya.
“Untuk mencapai sasaran itu, kita perlu mempercepatkan kepelbagaian ekonomi negeri daripada pergantungan tradisional kepada sumber asli kepada industri bernilai tambah tinggi seperti pembangunan hartanah bercampur, perindustrian serta pertanian moden termasuk industri tenusu,” katanya pada Majlis Menandatangani MoU di sebuah hotel terkemuka di sini.
MoU pertama melibatkan Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS) dan K.T.I. Sdn. Bhd. bagi meneroka cadangan pembangunan bercampur seluas 500 ekar di Tuaran yang merangkumi lot kedai, rumah teres, apartmen dan kawasan perindustrian.
Jamawi berkata, cadangan itu mempunyai potensi besar memandangkan kedudukan strategik Tuaran sebagai laluan utama ke utara dan pantai timur Sabah.
“Saya amat menyokong cadangan ini kerana kedudukan strategik Tuaran sebagai laluan utama ke utara dan pantai timur Sabah menjadikannya berpotensi besar sebagai pusat persinggahan dan pertumbuhan ekonomi baharu, terutamanya bagi sektor pelancongan dan perkhidmatan,” katanya.

Jamawi (belakang, tengah) dan tetamu kehormat yang lain menyaksikan sesi menandatangani di antara LIGS (kiri, diwakili oleh Sabdil) dan K.T.I Sdn Bhd (kanan, diwakili oleh Dr. Gordon).
Sementara itu, MoU kedua melibatkan kerjasama antara LIGS, Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sabah (DVS Sabah) dan Farm Fresh Berhad bagi meneroka pembangunan ladang tenusu komersial berskala besar menerusi projek Keningau Dairy Valley.
Menurut Jamawi, projek berkenaan bakal membawa pelaburan swasta dan kepakaran teknikal untuk memperkukuh industri tenusu tempatan, meningkatkan kadar sara diri pengeluaran susu segar, daging dan produk tenusu serta membuka lebih banyak peluang pekerjaan dan latihan kepada penternak serta rakyat Sabah.
Beliau berkata, walaupun kedua-dua MoU itu masih pada peringkat tanda hasrat dan belum menjadi komitmen muktamad, ia merupakan langkah awal yang penting ke arah pelaksanaan projek berimpak tinggi kepada negeri.
“Jika direalisasikan dengan jayanya, ia bukan sahaja akan merancakkan ekonomi di peringkat daerah iaitu Tuaran dan Keningau, malah turut menyumbang secara signifikan ke arah sasaran besar SMJ 2.0 untuk mencecah GDP RM120 bilion setahun.
“Ini membuktikan bahawa Sabah bukan sahaja kaya dengan sumber semula jadi, tetapi juga semakin matang dalam menarik pelaburan strategik yang pelbagai daripada hartanah dan perindustrian sehinggalah pertanian dan ternakan moden,” katanya.
Jamawi turut meminta K.T.I. supaya memulakan kajian kesesuaian pembangunan di lapangan dengan segera dan membentangkan hasil kajian serta nilai pelaburan kepada Kerajaan Negeri dalam masa terdekat.
Beliau juga menggesa LIGS memastikan proses kerja di lapangan berjalan lancar, teratur dan telus, manakala Farm Fresh serta DVS Sabah diminta mempercepatkan proses pemuktamadan kerjasama dengan mengambil kira kepentingan penternak tempatan, kelestarian alam sekitar dan kebajikan haiwan.
“Kerjasama ini diharap dapat menjadikan Sabah sebagai peneraju baharu industri tenusu negara,” katanya.
Jamawi berkata, kedua-dua MoU itu melambangkan semangat Sabah Maju Jaya sebagai negeri yang terbuka kepada pelaburan dan sentiasa meneroka peluang baharu demi kesejahteraan rakyat.
“Saya yakin dengan kerjasama erat antara kerajaan, agensi dan sektor swasta, wawasan besar yang kita tetapkan bersama bukan lagi sekadar impian, tetapi satu realiti yang semakin hampir untuk kita kecapi bersama,” katanya.
Turut hadir, Timbalan Menteri I, Datuk Haji Ruslan Muharam;Timbalan Menteri II, Datuk Hendrus Anding; Setiausaha Tetap, Datuk Jumain Jikah @ Abdul Ghani; Pengerusi Lembaga Pengarah, Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS) Datuk Seri Jahid Jahim; Ketua Pengarah Perkhidmatan Veterinar Malaysia; Datuk Dr. Mohd Noor Hisham Mohd Haron; Pengarah Perkhidmatan Veterinar Sabah (DVS Sabah) Dr. Zul Bahar Hj. Abdul Rashid; Pengurus Besar, Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS) Ts. Sabdil Tanjong; Pengerusi, Farm Fresh Berhad, Dato’ Dr. QuazaNizamuddin A. Hassan Nizam; Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Farm Fresh Berhad, Loi Tuan Ee dan KTI Landskap Berhad Managing Director and Chief Excecutive Officer, Datuk Dr. Gordon Loke serta Pegawai-pegawai Kementerian.
































