Tun Musa (tengah) bergambar kenangan bersama Lawrence (empat dari kiri) dan rombongan.
KOTA KINABALU: Persatuan Pelestarian Bahasa Dusunik Sabah (KBDS) terus mempergiat usaha memelihara serta melestarikan bahasa Dusunik.
Presiden KBDS, Datuk Lawrence Gimbang berkata, dianggarkan kira-kira 65 peratus masyarakat Dusunik kini tidak lagi bertutur dalam bahasa ibunda mereka dan ini menjadi antara faktor utama penubuhan KBDS.
“Tujuan KBDS adalah untuk memelihara, mengembang dan melestarikan bahasa Dusunik mengikut dialek masing-masing.
“Untuk mencapai tujuan tersebut, KBDS menghimpunkan semua pendidik dan pakar-pakar bahasa Dusunik melalui perbincangan ilmiah, bengkel bahasa, perundingan kepakaran dan penganjuran pertandingan di semua daerah yang ramai penutur bahasa Dusunik di Sabah seperti Ranau, Tambunan, Tuaran, Keningau dan Penampang.
“Itulah sebab kami menubuhkan persatuan ini iaitu untuk menggalakkan masyarakat Dusunik agar berbangga dengan bangsa dan bahasa sendiri serta terus bertutur dalam bahasa ibunda agar ia tidak pupus, terutama sekali orang muda-muda yang sekarang kurang bertutur dalam bahasa Kadazan Dusun.
“Tujuan kami adalah untuk meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan memelihara bahasa ibunda, khususnya golongan muda,” katanya kepada media selepas mengadakan kunjungan hormat kepada Yang di-Pertua Negeri, Tun Musa Aman di Istana Seri Kinabalu, pada Selasa.
Menurut beliau, kunjungan berkenaan bertujuan untuk memaklumkan kepada Tun Musa mengenai kewujudan persatuan ini yang telah didaftarkan dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) sejak 28 Februari 2022.
“Selain itu, tujuan kunjungan juga adalah untuk memohon sokongan dan kelulusan menubuhkan Yayasan Bahasa Dusunik yang berfungsi mengumpul dana untuk membiayai semua aktiviti persatuan.
“Antara program yang telah dilaksanakan ialah Lawatan Kolaborasi Bahasa Ibunda di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Kent pada tahun 2022 serta Bengkel Membina Buku Kosa Kata dan Buku Cerita Dusunik pada tahun 2023.
“KBDS juga bakal melaksanakan Program Komuniti Boros Dusunik di Tambunan pada tahun ini serta khidmat juru perunding bahasa Dusunik secara berterusan bagi membantu usaha pemeliharaan dan pembangunan bahasa tersebut,” tambahnya.
Lawrence memaklumkan KBDS kini mempunyai kira-kira 900 ahli dengan barisan kepimpinan seramai 17 anggota jawatankuasa yang terdiri daripada pendidik, doktor dan individu daripada pelbagai latar belakang profesional yang berkongsi matlamat memperkasakan bahasa Dusunik.
Hadir sama, Setiausaha Agung KBDS, Petrus F. Guriting, Timbalan Bendahari KBDS, Datuk Webley Disim dan Ahli Jawatankuasa Tertinggi yang juga Juru Perunding KBDS, Dr. Linah Bagu.
































