Tun Musa (tengah) bersama rombongan kunjungan dari ECoS.
KOTA KINABALU: Suruhanjaya Tenaga Sabah (ECoS) akan melancarkan Sabah Energy Efficiency Action Plan (SEEAP) dan program Solar Rakyat Sabah pada penghujung Julai ini.
Ketua Pegawai Eksekutif ECoS, Datuk Ir. Abdul Nasser Abdul Wahid berkata, SEEAP merupakan satu pelan tindak cekap tenaga untuk tempoh 10 tahun yang dibangunkan oleh ECoS dengan kerjasama pelbagai pihak antaranya kerajaan dan juga pihak industri.
“Pelan cekap tenaga merupakan satu perkara yang amat penting dalam mengambil berat mengenai cara menggunakan tenaga tersebut, dari segi penggunaannya, bukan sahaja pembekalannya bagi memastikan tenaga yang ada digunakan dengan cara yang terbaik.
“Pelan ini telah lengkap dan dijadual akan dilancarkan pada penghujung Julai ini.
“Dalam majlis yang sama nanti, kita juga akan melancarkan Program Solar Rakyat Sabah yang membolehkan pengguna memasang solar di premis kediaman masing-masing.
“Melalui inisiatif ini, mereka boleh menjana tenaga untuk penggunaan sendiri dan juga menjual kembali kepada utiliti Sabah Eletricity (SE),” katanya ketika ditemui media selepas kunjungan hormat terhadap Yang di-Pertua Negeri, Tun Musa Aman di Istana Seri Kinabalu, pada Rabu.
Beliau menjelaskan kunjungan tersebut adalah bertujuan untuk menjemput Tun Musa bagi merasmikan majlis peluncuran berkenaan.
Menjelaskan lebih lanjut mengenai program Solar Rakyat Sabah, Abdul Nasser berkata melalui program tersebut, pengguna dapat menjana tenaga untuk penggunaan sendiri serta menjual kembali lebihan hasil utiliti kepada SE dengan konsep prosumerism.
“Katakan kalau mereka pakai 1,000 unit, mereka menghasilkan daripada solar 1,500 unit dan kemudian 500 lebihan, mereka boleh jual kepada SE dengan konsep ditolak daripada bil elektrik.
“Konsep ini bukanlah baru malah sudah lama di Malaysia cuma yang pertama dilaksanakan di Sabah oleh ECoS dengan kerjasama dari semua pihak termasuk SE dalam penglibatan pemasangan solar dan juga kaedah pembiayaan bagi memudahkan pemasangan tersebut.
“Program ini memberikan peluang kepada pengguna untuk memasang solar dengan kaedah yang paling optimal dan murah memandangkan kos pemasangan solar tidaklah murah,” jelasnya.
Sehubungan itu, beliau menyeru para pengguna untuk merebut peluang yang disediakan kerana ia merupakan pelan mitigasi bagi mengurangkan kenaikan kos elektrik dan juga untuk mendapatkan manfaat daripada tenaga lestari.
Hadir sama, Ketua Pegawai Operasi ECoS, Ir. Ts. Ridwan Saham dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif, Ernie Zainie.
































