RANAU: Timbalan Ketua Menteri II, Datuk Seri Masidi Manjun menasihatkan pelajar supaya memilih bidang pengajian yang mempunyai permintaan tinggi dalam pasaran pekerjaan, termasuk Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta kursus kemahiran yang semakin diperlukan industri.
Beliau berkata, institusi seperti politeknik dan kolej kemahiran menawarkan laluan kerjaya yang baik dengan peluang pekerjaan yang lebih luas kepada lepasan sekolah.
Masidi yang juga Menteri Kewangan berkata, pelajar perlu bijak memilih bidang pengajian yang mempunyai permintaan tinggi dalam pasaran kerja serta mampu menjana pendapatan, dan bukan sekadar memilih bidang yang mudah diikuti tetapi sukar memperoleh pekerjaan selepas tamat pengajian.
Menurutnya, bidang teknikal dan kemahiran yang ditawarkan di politeknik serta institusi latihan kemahiran kini semakin mendapat permintaan tinggi daripada industri dan menawarkan prospek kerjaya yang cerah.
Katanya, kemahiran yang dipelajari bukan sahaja membuka peluang pekerjaan, malah boleh dijadikan asas untuk menceburi bidang keusahawanan serta membina perniagaan sendiri yang berpotensi menjana pendapatan lumayan.
“Golongan belia tidak seharusnya terlalu memilih pekerjaan, sebaliknya perlu bersedia memulakan kerjaya baharu dan merebut setiap peluang yang ada. Jangan malu memulakan sesuatu pekerjaan kerana setiap kejayaan bermula dengan kesungguhan, disiplin dan kerja keras,” katanya yang juga ADUN Karanaan ketika merasmikan Majlis Anugerah Cemerlang Ke-20 Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ranau, di sini, kelmarin.
Masidi berkata, dalam keadaan pasaran kerja yang semakin kompetitif, sikap rajin, berusaha serta sanggup memikul tanggungjawab adalah lebih penting daripada terlalu memilih jenis pekerjaan.
“Malah pengalaman yang diperoleh akan menjadi asas kepada kejayaan yang lebih besar pada masa hadapan,” katanya.
Beliau turut menggalakkan golongan belia supaya berani merantau dan berdikari selepas menamatkan pengajian bagi menimba ilmu, pengalaman serta memperluaskan pendedahan dalam dunia pekerjaan.
Menurutnya, pengalaman bekerja di luar daerah, negeri atau negara mampu membentuk jati diri, meningkatkan kemahiran dan keyakinan diri, sekali gus membuka lebih banyak peluang untuk mencapai kejayaan pada masa hadapan.
Dalam pada itu, Masidi menyeru ibu bapa supaya memainkan peranan lebih aktif dalam pendidikan anak-anak dengan menghadiri program sekolah serta Mesyuarat Agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).
Katanya, kehadiran ibu bapa dalam setiap aktiviti sekolah bukan sahaja memberi sokongan moral kepada anak-anak, malah membolehkan mereka mengetahui perkembangan pembelajaran serta menyelesaikan sebarang masalah yang dihadapi pelajar lebih awal.
“Jika terdapat masalah kewangan atau perkara lain yang boleh menjejaskan pembelajaran anak, ibu bapa perlu memaklumkannya kepada pihak sekolah supaya penyelesaian dapat dicari bersama.
“Hubungan yang erat serta kerjasama yang baik antara ibu bapa dan pihak sekolah amat penting bagi memastikan kebajikan, perkembangan dan kecemerlangan akademik anak-anak sentiasa terpelihara,” katanya.
Masidi turut mengingatkan pelajar supaya sentiasa menghargai jasa ibu bapa serta mengekalkan nilai berdikari dan rajin bekerja yang menjadi budaya masyarakat Sabah.
Pada majlis itu, seramai 315 pelajar dan guru menerima pengiktirafan melibatkan pencapaian Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025, Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2025 serta STPM Semester Satu.
Daripada jumlah itu, 15 pelajar SPM dan empat pelajar STPM yang telah menerima keputusan rasmi masing-masing menerima Anugerah Pelajar Cemerlang Terbaik atas pencapaian akademik yang membanggakan.
Majlis turut menyaksikan penyampaian Anugerah Panitia sebagai penghargaan kepada guru-guru yang menunjukkan komitmen dan dedikasi dalam membimbing pelajar sehingga mencapai keputusan cemerlang dalam peperiksaan.
































