Wilfred Madius Tangau
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau mendesak Kerajaan untuk memperjelaskan tahap kesiapsiagaan negara berserta bentuk pampasan kepada mangsa sekiranya berlaku kebocoran data berskala besar yang melibatkan jutaan rakyat Malaysia.
Beliau berkata, Kerajaan memikul tanggungjawab yang besar untuk melindungi data rakyat daripada sebarang bentuk penyalahgunaan sekiranya mahu memperluaskan penggunaan identiti digital negara.
“Hari ini kita berhadapan dengan peningkatan mendadak kes penipuan dalam talian, pencurian identiti digital, penggodaman data, serta kemunculan teknologi deepfake yang mampu menghasilkan video, audio dan imej palsu menggunakan kecerdasan buatan,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Jenayah Siber 2026 di Dewan Rakyat kelmarin.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tamparuli itu berkata, beliau secara prinsipnya menyokong penggubalan akta moden tersebut untuk menggantikan Akta Jenayah Komputer 1997.
“Negara kini berhadapan dengan peningkatan mendadak jenayah digital yang kompleks, termasuklah kemunculan teknologi ‘deepfake’ berasaskan kecerdasan buatan (AI) yang memanipulasi imej dan audio bagi menipu mangsa.
“Walau bagaimanapun, perlu diwujudkan satu mekanisme semak dan imbang yang jelas, termasuk pelaporan tahunan kepada Parlimen bagi memastikan kuasa luas yang diberikan kepada pihak berkuasa untuk memintas komunikasi dan mengakses sistem komputer tidak disalahgunakan,” ujar beliau.
Menyentuh tentang peruntukan perlindungan di bawah Seksyen 57, Madius mencadangkan agar ia tidak ditafsirkan terlalu meluas sehingga menyukarkan rakyat mendapatkan keadilan sekiranya berlaku penyalahgunaan kuasa atau kecuaian yang serius oleh pihak penguat kuasa.
Dari sudut pembangunan kemudahan wilayah, beliau turut mempersoalkan jumlah kepakaran forensik digital sedia ada di Borneo dan menggesa penubuhan sebuah Pusat Keselamatan Siber dan Forensik Digital bertaraf tinggi di Sabah agar mereka tidak lagi perlu bergantung sepenuhnya kepada kemudahan di Semenanjung.
“Saya juga ingin mendapatkan pencerahan sama ada Kerajaan Negeri Sabah dan Kerajaan Negeri Sarawak telah dirunding secara rasmi sebelum RUU tersebut dibentangkan, memandangkan pelaksanaannya kelak akan melibatkan pelbagai agensi serta kerajaan tempatan di kedua-dua buah negeri berkenaan.
“Prinsip kedaulatan undang-undang serta perlindungan hak rakyat mesti sentiasa dipelihara dan berjalan seiring dalam apa jua langkah proaktif bagi memastikan tiada sesiapa yang berada di atas undang-undang ketika memerangi ancaman jenayah siber,” tambah Presiden Kehormat Pertubuhan Kinabalu Progresif UPKO itu lagi.
































