Armizan bersama Gelvia dan tetamu lain.
KOTA KINABALU: Unduk Ngadau Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah 2026, Gelvia Vanessa Jenny, dipilih sebagai Selebriti Khas Shopee sempena Shopee Seller Summit 2026.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup yang juga Ahli Parlimen Papar, Datuk Armizan Mohd. Ali mengucapkan tahniah kepada anak Kampung Gana, Papar itu atas pemilihannya sebagai Selebriti Khas Shopee.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Shopee Malaysia atas pengiktirafan berkenaan.
Armizan berkata, pada usia 24 tahun, Gelvia yang merupakan anak ketiga daripada lapan beradik dan pelajar tahun akhir Ijazah Sarjana Muda Pengajian Melayu di Universiti Malaya membuktikan bahawa kecemerlangan bukan sekadar diukur melalui pencapaian akademik.
Katanya, kecemerlangan turut terserlah melalui keperibadian, keyakinan diri serta penghargaan terhadap warisan budaya.
“Unduk Ngadau bukan sekadar pertandingan yang mengangkat kecantikan paras rupa, sebaliknya merupakan platform yang menonjolkan wanita Sabah yang berilmu, bijaksana, berpekerti mulia serta mampu menjadi duta budaya dan warisan negeri.
“Saya percaya nilai-nilai inilah yang turut menjadikan Gelvia sebagai inspirasi kepada generasi muda,” katanya.
































