KOTA KINABALU: Polis sedang mengesan seorang lelaki bagi membantu siasatan kes bunuh membabitkan seorang lelaki warga asing yang ditemui maut di kawasan tapak pembinaan di belakang sebuah bilik pameran kenderaan di Iramanis, di sini, awal pagi semalam.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintenden Syed Lot Syed Ab Rahman berkata, polis menerima maklumat mengenai kejadian itu kira-kira jam 1.40 pagi sebelum laporan polis dibuat pada jam 2.23 pagi.
“Hasil siasatan awal mendapati mangsa, seorang lelaki warga asing berusia 34 tahun, dipercayai keluar bersama suspek pada sebelah petang untuk minum minuman keras di kawasan Penampang sebelum kedua-duanya pulang ke rumah kongsi kira-kira jam 11 malam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut beliau, siasatan mendapati berlaku pertengkaran antara mangsa dan suspek yang dipercayai berpunca daripada salah faham ketika mereka berada dalam keadaan mabuk.
Katanya, mangsa dipercayai memukul suspek menggunakan sebatang kayu sebelum suspek bertindak balas dengan menikam mangsa sebanyak empat kali menggunakan sebilah pisau pemotong sayur.
“Selepas kejadian, suspek dipercayai melarikan diri manakala mangsa ditemui di dalam sebuah lubang pembetung (manhole) berhampiran lokasi kejadian,” katanya.
Beliau berkata, Pasukan Forensik Jabatan Siasatan Jenayah Kontinjen Sabah telah menjalankan pemeriksaan di tempat kejadian sebelum mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Queen Elizabeth I untuk bedah siasat.
Syed Lot berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan usaha mengesan serta menangkap suspek, termasuk merampas senjata yang digunakan, sedang giat dijalankan.
Beliau turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Asisten Superintenden Syed Abdul Rahman Syed Mohsin di talian 012-310 6882 atau hadir ke mana-mana balai polis berhampiran.
“Polis turut menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang tidak sahih sehingga boleh menjejaskan siasatan yang sedang dijalankan,” katanya.
































