PUTRAJAYA: Kerajaan memperluaskan kelayakan Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) kepada kenderaan persendirian syarikat kategori jip dan pikap bagi memberi manfaat kepada lebih ramai peniaga mikro dan kecil yang layak.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd. Ali berkata, sektor baharu itu melibatkan Sektor Pengangkutan Darat (Persendirian Syarikat – Jip dan Pikap) dan merupakan tambahan kepada dua sektor sedia ada di bawah SKDS iaitu Sektor Pengangkutan Darat (Awam) serta Sektor Pengangkutan Darat (Barangan Keperluan Pengguna).
Beliau berkata, dengan penambahan sektor baharu itu, jumlah keseluruhan jenis kenderaan dan kelas kegunaan yang terlibat di bawah SKDS kini meningkat kepada 35 kategori.
Menurutnya, penyaluran subsidi diesel secara bersasar dilaksanakan melalui beberapa mekanisme termasuk subsidi individu menerusi BUDI Diesel dan subsidi kepada petani, penternak serta pekebun kecil melalui BUDI Agri-Komoditi yang kedua-duanya dikawal selia oleh Kementerian Kewangan (MoF).
Katanya, Skim Subsidi Diesel Nelayan pula dikawal selia oleh Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), manakala SKDS berada di bawah seliaan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).
“Melalui SKDS, manfaat subsidi diesel diberikan kepada entiti perniagaan, syarikat dan koperasi yang berkelayakan di seluruh negara.
“Penyaluran subsidi adalah melalui kaedah fleet card dengan kadar kuota tetap yang berbeza mengikut jenis badan, kelas kegunaan dan kategori teknikal kenderaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Armizan berkata, permohonan pendaftaran bagi sektor baharu itu dibuka bermula hari ini, 3 Julai 2026, manakala kelayakan subsidi akan berkuat kuasa mulai 15 Julai 2026, tertakluk kepada kelulusan permohonan dan pemilikan fleet card.
Beliau berkata, antara syarat kelayakan yang ditetapkan ialah kenderaan berkenaan mesti didaftarkan sebagai kenderaan perniagaan dengan Kelas atau Kod Kegunaan Persendirian Syarikat (AE) dalam sistem MySikap Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
Selain itu, perniagaan berkenaan hendaklah didaftarkan di bawah pemilikan tunggal atau perkongsian melalui Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) atau pendaftaran pihak berkuasa tempatan di Sabah dan Sarawak.
“Subsidi ini disasarkan untuk memanfaatkan para peniaga mikro dan kecil yang berdaftar sebagai perniagaan milikan tunggal dan perkongsian.
“Sehubungan itu, pemilik perniagaan yang berkelayakan digesa membuat permohonan pada kadar segera melalui portal MySubsidi,” katanya.
Armizan berkata, peluasan kelayakan itu mencerminkan komitmen Kerajaan untuk memastikan bantuan subsidi diesel bersasar dapat disalurkan kepada kumpulan yang benar-benar memerlukan, khususnya golongan usahawan mikro dan kecil yang menggunakan kenderaan bagi tujuan perniagaan.
































