KUCHING: Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan, Datuk Ewon Benedick berkata, usahawan Orang Asal di Sabah dan Sarawak perlu memperkukuhkan kerjasama bagi membangunkan identiti ekonomi tersendiri agar mampu bersaing di peringkat nasional dan antarabangsa.
Beliau berkata, usaha itu penting bagi melahirkan komuniti perniagaan Orang Asal yang memiliki kekuatan ekonomi sendiri serta mampu meneroka industri berimpak tinggi tanpa mengabaikan identiti etnik, budaya serta warisan masing-masing.
“Bagi kementerian saya, khususnya melibatkan Kadazandusun Chamber of Commerce and Industry (KCCI), saya mahu kementerian menjadi sebahagian daripada usaha membina identiti ekonomi yang lebih kukuh dalam kalangan usahawan Momogun atau Kadazan Dusun di Sabah.
“Sebenarnya, sudah ada asas kepada identiti ekonomi tersebut. Sebagai contoh, Dayak Chamber of Commerce and Industry (DCCI) kini memiliki wisma sendiri. Itu merupakan satu pencapaian penting seperti dewan-dewan perniagaan yang lain.
“Inilah bentuk identiti ekonomi yang ingin kita bina, iaitu mempunyai kekuatan dan aset sendiri sebagai komuniti perniagaan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan perasmian Cultural & Business Exhibition, di Wisma DCCI di sini, hari ini.
Program itu dianjurkan bersama oleh DCCI dan KCCI sempena sambutan Gawai-Kaamatan ke-17, dengan penyertaan seramai 82 usahawan dari Sabah dan Sarawak yang mempamerkan pelbagai produk.
Ewon berkata, pencapaian DCCI dalam membina identiti ekonomi masyarakat Dayak wajar dijadikan inspirasi kepada komuniti usahawan Orang Asal di Sabah untuk melangkah lebih jauh.
“Saya menghormati dan terinspirasi dengan pencapaian DCCI yang telah berjaya membina identiti ekonomi tersebut. Namun saya percaya kita boleh buat lebih baik lagi.
“Sebagai contoh, adakah kita mempunyai syarikat yang disenaraikan di Bursa Malaysia dengan penglibatan masyarakat Kadazan Dusun atau Dayak? Adakah kita telah bertapak di pasaran antarabangsa dengan membuka perusahaan di luar negara? Adakah kita telah terlibat dalam industri strategik seperti kecerdasan buatan (AI) dan semikonduktor yang kini menjadi pemacu ekonomi dunia?
“Itulah yang saya maksudkan dengan identiti ekonomi,” katanya.
Menurut beliau, masyarakat Orang Asal perlu mengekalkan identiti etnik, bahasa, budaya dan adat resam, namun pada masa sama membangunkan perniagaan yang mampu bersaing di peringkat global.
“Dalam kita mempertahankan identiti etnik, bahasa, budaya dan adat resam, kita juga perlu muncul sebagai komuniti perniagaan bertaraf dunia yang tetap berbangga dengan asal usul dan jati diri, tetapi pada masa sama memiliki perniagaan yang mampu bersaing dengan usahawan di seluruh dunia.
“Itulah wawasan yang saya ingin lihat untuk komuniti kita. Saya sendiri datang daripada komuniti peribumi, dan saya mahu melihat masyarakat saya memiliki kekuatan ekonomi yang setanding dengan mana-mana komuniti di dunia,” katanya.
Dalam ucapannya, Ewon turut menyatakan keyakinan bahawa kerjasama erat antara DCCI dan KCCI akan terus diperkasakan bagi memperluaskan peluang perdagangan serta pembangunan keusahawanan di Sabah dan Sarawak.
Beliau berkata, penganjuran bersama antara kedua-dua dewan perniagaan yang diadakan secara bergilir-gilir setiap tahun membuktikan komitmen mereka dalam memperkukuhkan hubungan strategik antara komuniti perniagaan di kedua-dua negeri.
“Tahun ini program dihoskan di Kuching, manakala tahun hadapan pula akan dihoskan oleh KCCI di Sabah. Saya yakin KCCI dan DCCI akan terus bekerjasama memperkukuh hubungan strategik bagi memastikan bukan sahaja ahli-ahli mereka, malah para usahawan di Sabah dan Sarawak dapat membangunkan serta memasarkan produk mereka ke pasaran yang lebih luas,” katanya.
Beliau turut mengucapkan tahniah kepada kepimpinan DCCI dan KCCI atas kejayaan menganjurkan program berkenaan yang disifatkan sebagai platform penting dalam memperkukuhkan jaringan perniagaan dan kerjasama ekonomi antara usahawan Sabah dan Sarawak.
Sementara itu, mengulas pertemuannya dengan Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Ewon berkata kedua-dua pihak bersetuju memperkukuhkan kerjasama strategik antara Sabah dan Sarawak bagi mempercepat pembangunan sektor perindustrian dan perdagangan.
“Itulah antara tujuan utama lawatan saya ke Sarawak. Selain menghadiri sambutan Gawai-Kaamatan, lawatan ini juga bertujuan mengukuhkan kerjasama perdagangan, pembangunan perindustrian dan hubungan yang lebih erat antara Kerajaan Sabah dan Kerajaan Sarawak,” katanya.
Beliau berkata, kerjasama yang lebih erat antara Sabah dan Sarawak bukan sahaja mampu memperkukuh pembangunan ekonomi Borneo, malah membuka ruang kepada usaha promosi perdagangan bersama di luar negara, sekali gus memperkukuhkan identiti ekonomi komuniti Orang Asal sebagai pemain industri yang berdaya saing di peringkat global.
































