Armizan Mohd. Ali
KUALA LUMPUR: Sektor e-dagang terus muncul sebagai pemacu penting pertumbuhan ekonomi negara dengan sumbangan sebanyak RM248.2 bilion atau 13.6 peratus kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Malaysia pada tahun 2023.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd. Ali berkata, sektor itu kini berkembang pesat sebagai salah satu sektor strategik yang menyokong agenda ekonomi digital negara.
Menurut beliau, data Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menunjukkan jumlah pendapatan sektor e-dagang turut mencatatkan peningkatan yang konsisten sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
“Jumlah pendapatan sektor e-dagang merekodkan RM1.1 trilion pada tahun 2021, meningkat kepada RM1.13 trilion pada tahun 2022 dan RM1.18 trilion pada tahun 2023.
“Prestasi itu terus berkembang kepada RM1.23 trilion pada tahun 2024 sebelum mencecah RM1.3 trilion pada tahun 2025,” katanya ketika menggulung perbahasan di Kamar Khas Dewan Rakyat.
Armizan berkata, sebagai sebuah negara dagang yang mengamalkan pasaran terbuka, Malaysia terus mengekalkan strategi dan pendekatan yang menyokong pertumbuhan ekonomi digital termasuk sektor e-dagang.
Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa kerajaan tidak akan sesekali membelakangkan kepentingan pemegang taruh tempatan dalam usaha memacu perkembangan sektor berkenaan.
Katanya, di samping komited terhadap keterbukaan pasaran, pertumbuhan sektor e-dagang perlu berlandaskan prinsip keadilan dan tanggungjawab serta mengambil kira kelangsungan perniagaan tempatan dan perlindungan pengguna.
“Pengguna perlu dilindungi, manakala peniaga tempatan khususnya perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) wajib diberi ruang untuk bersaing secara saksama,” katanya.
Sehubungan itu, Armizan berkata, Kerajaan sedang melaksanakan beberapa langkah bagi memastikan ekosistem e-dagang negara lebih mampan, inklusif dan seimbang.
Menurut beliau, langkah pertama ialah mewujudkan kerangka perundangan yang lebih inklusif dan komprehensif bagi mengawal selia sektor e-dagang yang semakin berkembang.
Katanya, kajian semakan terhadap semua undang-undang berkaitan sektor e-dagang telah dimulakan sejak April 2024 dan laporan akhir kajian tersebut kini telah disiapkan serta boleh diakses melalui laman sesawang Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).
“Berdasarkan kajian itu, KPDN telah menyediakan Memorandum Jemaah Menteri berhubung ketetapan dasar bagi penggubalan undang-undang baharu berkaitan e-dagang.
“Kertas tersebut dijadual dibentangkan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri pada minggu pertama Julai 2026,” katanya.
Beliau berkata, sebaik sahaja keputusan Jemaah Menteri diperoleh, kementerian akan memulakan proses penyediaan draf Rang Undang-Undang yang mengambil kira ulasan semua kementerian berkaitan serta semakan Jabatan Peguam Negara.
Dalam pada itu, Armizan berkata, Jemaah Menteri turut memutuskan penubuhan Jawatankuasa Khas Berkaitan Impak Perniagaan Asing Dalam Negara bagi meneliti pelbagai isu yang timbul susulan perkembangan perniagaan asing di Malaysia.
Menurut beliau, antara terma rujukan jawatankuasa itu adalah meneliti risiko lambakan barangan dan perkhidmatan asing termasuk melalui platform e-dagang serta penyalahgunaan pas imigresen untuk tujuan berniaga dan bekerja di negara ini.
Katanya, jawatankuasa berkenaan dipengerusikan oleh Kementerian Kewangan dan dianggotai beberapa kementerian serta agensi utama termasuk KPDN, Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Polis Diraja Malaysia serta Jabatan Imigresen Malaysia.
Armizan berkata, langkah-langkah yang sedang dilaksanakan itu membuktikan komitmen kerajaan untuk memastikan pertumbuhan sektor e-dagang terus berkembang secara mampan tanpa menjejaskan kepentingan pengguna dan peniaga tempatan.




























