Suasana sekitar Program Mengenang Negarawan Tun Fuad Stephens.
KOTA KINABALU : Program Mengenang Negarawan Tun Fuad Stephens menjadi platform penting dalam usaha memelihara memori sejarah negara.
Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, rakyat Malaysia perlu menghayati semangat perpaduan dan kepimpinan yang ditinggalkan Allahyarham Tun Fuad Stephens bagi memperkukuh pembinaan negara bangsa yang bersatu padu, aman dan makmur.
“Bertemakan Legasi Huguan Siou Membina Negara Bangsa, program ini penting dalam usaha memelihara sejarah di samping menghargai jasa tokoh yang banyak mencorakkan perjalanan Sabah dan Malaysia.
“Tun Fuad Stephens bukan sahaja dikenang sebagai arkitek kemerdekaan Sabah serta salah seorang tokoh penting dalam pembentukan Malaysia, malah beliau merupakan pemimpin yang sentiasa mengutamakan perpaduan rakyat dan mendahulukan kepentingan negara berbanding kepentingan peribadi atau kelompok.
“Sebagai Ketua Menteri Sabah yang pertama, beliau memainkan peranan penting dalam memastikan hak dan kepentingan Sabah terus terpelihara melalui Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) serta tuntutan 20 Perkara Sabah,” katanya ketika merasmikan Program Mengenang Negarawan Tun Fuad Stephens di sini, pada Isnin.
Menurut Aaron, Tun Fuad Stephens yang digelar “Huguan Siou” atau Pemimpin Agung bukan sahaja dihormati masyarakat Kadazandusun, malah menjadi jambatan perpaduan yang menyatukan pelbagai kaum di Sabah serta mengeratkan hubungan antara Sabah, Semenanjung dan Sarawak.
Beliau berkata, tokoh itu turut memainkan peranan besar dalam sejarah Sabah dan pembentukan Malaysia, sekali gus menjadi simbol perpaduan merentasi kaum, agama dan wilayah.
Aaron turut menegaskan bahawa pengorbanan Tun Fuad Stephens dalam membubarkan Pertubuhan Kebangsaan Kadazan Bersatu (UNKO) bagi membolehkan penggabungan dengan Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO) membuktikan komitmen tinggi terhadap agenda perpaduan nasional.
Katanya, pendekatan Tun Fuad Stephens dalam mengimbangi aspirasi penyatuan dan autonomi negeri menjadi asas penting kepada pembinaan negara bangsa yang berteraskan persefahaman, keadilan sosial serta saling menghormati antara wilayah.
Keputusan tersebut memperlihatkan kesediaan untuk mengetepikan kepentingan politik demi memastikan kestabilan dan keharmonian rakyat terus terpelihara.
“Pembinaan negara bangsa merupakan proses berterusan yang memerlukan komitmen semua pihak termasuk kerajaan, institusi pendidikan, masyarakat sivil, sektor swasta dan rakyat Malaysia.
“Nilai perpaduan yang diperjuangkan oleh Tun Fuad masih kekal relevan sehingga hari ini, khususnya ketika negara berdepan pelbagai cabaran termasuk globalisasi, perbezaan pandangan politik dan pengaruh media sosial,” ujarnya.
Justeru, rakyat khususnya generasi muda diseru untuk mengenali dan menghayati perjuangan tokoh-tokoh terdahulu yang telah meletakkan asas kukuh kepada pembentukan negara.
Sebagai usaha memperingati jasa Tun Fuad Stephens, orang ramai juga dijemput mengunjungi Memorial Negarawan di Jalan Dato’ Onn, Kuala Lumpur yang menempatkan pelbagai koleksi serta bahan pameran berkaitan Tun Fuad Stephens sebagai sumber rujukan dan inspirasi kepada generasi akan datang.
Melalui penghayatan sejarah dan kunjungan ke memorial ini, diharapkan legasi serta semangat juang Tun Fuad Stephens akan terus hidup dan menjadi obor inspirasi dalam sanubari generasi muda demi mengekalkan keharmonian serta kedaulatan tanah air.
Turut hadir, Ketua Setiausaha kementerian Perpaduan Negara, Dato Haslina Abdul Hamid; Ketua Pengarah Arkib Negara Malaysia, Zaidin Mohd Noor serta ketua-ketua jabatan.






























