Joniston diiringi Presiden Persatuan Wartawan Sabah (SJA), Mariah Doksil dan tetamu kenamaan bersama para pemenang pada Majlis Anugerah Kinabalu Press Awards (KPA) 2026 di Kota Kinabalu malam tadi.
KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri sentiasa menyokong industri media menerusi bantuan dalam bentuk tajaan kewangan bagi penganjuran Kinabalu Press Awards (KPA), kata Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor.
Beliau berkata, sejak tahun 2025, sumbangan tajaan untuk penganjuran KPA telah meningkat kepada RM110,000 berbanding RM100,000 pada tahun 2024.
“Peningkatan sumbangan tajaan ini membuktikan bahawa Kerajaan Negeri sentiasa menghargai dan mengiktiraf sumbangan wartawan, sekali gus menyokong segala usaha ke arah kecemerlangan pengamal media di negeri ini.
“Oleh itu, Kerajaan Negeri akan terus memberikan sokongan sebagai penaja utama majlis ini. Kerajaan Negeri kekal sebagai penyumbang utama tajaan kepada Kinabalu Press Awards pada tahun ini,” katanya pada Majlis Kinabalu Press Awards (KPA) 2026 di sini semalam. Ucapan beliau dibacakan oleh Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Joniston Bangkuai.
Ketua Menteri berkata, Kerajaan Negeri amat menghargai sumbangan wartawan sebagai rakan strategik dalam menyampaikan dasar serta kejayaan pembangunan kerajaan kepada rakyat.
“Pelaporan berita, khususnya mengenai Pelan Pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya, telah dilaksanakan dengan begitu baik. Malah, pada tempoh menjelang pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah sehingga berakhirnya Pilihan Raya Negeri ke-17 tahun lalu, pengamal media terlibat secara langsung, khususnya dalam aspek pelaporan berita.
“Saya sendiri menyaksikan bagaimana pengamal media bekerja keras, bertugas lebih masa, mengejar berita dari pelbagai sudut dan memastikan setiap laporan yang disampaikan adalah tepat serta berintegriti tinggi demi kepentingan rakyat.
“Sepanjang tempoh itu juga, saya melihat pengamal media bekerja tanpa mengira waktu, termasuk berhujan dan berpanas, bagi melaporkan setiap perkembangan semasa. Syabas dan tahniah sekali lagi kepada semua pengamal media atas komitmen yang ditunjukkan dalam menjalankan tugas mereka,” katanya.
Walaupun kepantasan penyampaian berita menjadi keutamaan, beliau menegaskan bahawa ketepatan dan kesahihan fakta tidak boleh dikompromi.
“Justeru, saya ingin menyeru semua pengamal media agar terus menjalankan tugas dengan penuh integriti, berlandaskan prinsip kewartawanan yang profesional dan bertanggungjawab.
“Pengamal media juga perlu sentiasa melaporkan berita yang tepat, telus, beretika dan tidak mudah terpengaruh dengan maklumat palsu,” katanya.




























