Dr. Joachim membuat tujuh pukulan gong sebagai tanda perasmian Pesta Kaamatan Peringkat Kampung Togop Darat.
RANAU: Semangat perpaduan, keharmonian dan amalan gotong-royong atau mogitatabang dalam kalangan masyarakat perlu terus dipelihara dan diamalkan.
Timbalan Ketua Menteri I merangkap Menteri Kerja Raya Dan Utiliti, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam berkata, amalan mitatabang telah menjadi sebahagian daripada budaya dan cara hidup masyarakat sejak zaman nenek moyang lagi.
“Khususnya dalam membantu antara satu sama lain ketika mengusahakan tanaman padi, mengadakan majlis keramaian serta melaksanakan pelbagai aktiviti kemasyarakatan,” katanya ketika merasmikan Sambutan Pesta Kaamatan Peringkat Kampung Togop Darat, dekat sini, pada Jumaat.
Dr. Joachim, yang juga Wakil Rakyat Kundasang berkata, walaupun sambutan rasmi Pesta Kaamatan di peringkat negeri berakhir pada 31 Mei lalu, namun semangat Kaamatan masih terus dirasai dan diraikan di peringkat kampung.
“Sesuai dengan tema Pesta Kaamatan tahun ini iaitu ‘Kaamatan Menuai Perpaduan, Meraikan Keharmonian’, inilah masanya untuk kita saling bermaaf-maafan dan memperkukuhkan hubungan silaturahim dalam kalangan masyarakat,” katanya.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah berkata, amalan mitatabang yang menjadi warisan turun-temurun masyarakat Sabah perlu terus dipertahankan sebagai simbol perpaduan dan kebersamaan.
Budaya ini perlu terus dipelihara dan diwariskan kepada generasi muda agar tidak luput ditelan zaman, dan menjadi asas kekuatan masyarakat kita,” katanya.
Pada masa sama, beliau turut berkongsi perkembangan positif berkaitan bekalan air terawat yang telah diluluskan oleh kerajaan dan bakal memberi manfaat kepada penduduk Kampung Togop Darat tidak lama lagi.
Beliau berharap kemudahan tersebut dapat meningkatkan kualiti hidup penduduk serta menyokong pembangunan sosioekonomi masyarakat setempat.
Sambutan Pesta Kaamatan Kampung Togop Darat tahun ini berlangsung meriah dengan penyertaan penduduk kampung dan pelbagai aktiviti kebudayaan yang mencerminkan semangat perpaduan serta keharmonian masyarakat pelbagai lapisan.






























