Jamawi (duduk, empat dari kiri), Ariffin (duduk, tiga dari kanan) bergambar bersama dengan penduduk kampung serta semua yang hadir dalam lawatan kerja itu.
MEMBAKUT: Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan (MAFFI), melalui Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), akan menaik taraf sistem pengairan di kawasan penanaman padi di Membakut menerusi peruntukan berjumlah RM15 juta yang disalurkan oleh Kerajaan Negeri Sabah.
Inisiatif itu bertujuan meningkatkan pengeluaran padi, memperkukuh produktiviti sektor pertanian serta menarik lebih ramai golongan muda menceburi bidang pertanian.
Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, Datuk Jamawi Jaafar berkata, beliau mendapat maklumbalas ‘feedback’ di ‘Facebook’ yang menyatakan bahawa banyak kawasan di kawasan Membakut, tidak boleh diusahakan tanaman padi.
“Maka saya pun berbincang dengan ADUN Membakut, Datuk Dr. Mohd. Ariffin Mohd. Arif dan kami telah meninjau serta turun padang dan ada beberapa perkara yang telah pun kita selesaikan yang pertamanya, sistem pengairan untuk sistem pengairan daerah Membakut.

Jamawi (kiri) memberikan penerangan semasa melawat ladang terung dan cili.
Kontraktor bagi projek berkenaan telah dilantik dan kerja-kerja pelaksanaan akan memberi manfaat kepada kira-kira 350 ekar kawasan sawah padi di daerah itu.
“Hasil lawatan ke kawasan sawah di Membakut, kita mengenal pasti beberapa isu utama termasuk sistem pengairan, kekurangan jentera serta masalah gangguan ternakan yang memasuki kawasan tanaman.
“Bagi isu pengairan, kementerian melalui Jabatan Pengairan dan Saliran telah memperuntukkan RM15 juta tahun ini dan kontraktor juga telah dilantik untuk menaik taraf sistem tersebut,” katanya ketika ditemui media selepas mengadakan lawatan kerja ke kawasan pertanian dan sawah padi di Kampung Pimping, di sini pada Jumaat.
Selain itu, Jamawi juga membuat tinjauan ke sawah padi di Kampung Bingkulas, Kampung Mandaya dan Kampung Takak.
Jamawi berkata, kementerian juga akan bekerjasama dengan Lembaga Pertubuhan Peladang bagi membantu menyediakan jentera pertanian yang diperlukan pesawah.
Katanya, isu mekanisasi merupakan antara cabaran utama yang perlu ditangani bagi meningkatkan minat generasi muda dalam industri penanaman padi.
“Kita akan berusaha membantu dari segi penyediaan mesin, dron dan jentera menuai kerana kemudahan ini mampu meningkatkan produktiviti dan mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja manual,” katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa kementerian akan berbincang dengan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sabah bagi mengenal pasti dan menaik taraf kawasan padang ragut untuk mengelakkan lembu serta kerbau memasuki kawasan sawah.
Dalam lawatan tersebut, Jamawi berkata beliau menerima maklumat bahawa kira-kira 60 peratus pesawah di Membakut terdiri daripada golongan muda berusia antara 25 hingga 40 tahun.
Menurutnya, daripada lebih 120 pengusaha sawah di kawasan itu, sekitar 60 hingga 70 orang adalah generasi muda yang mengambil alih pengurusan sawah daripada keluarga masing-masing.
“Ini satu perkembangan yang sangat positif. Kita melihat semakin ramai generasi kedua mengambil alih perusahaan keluarga dan meneruskan aktiviti penanaman padi.
“Perkara ini memberi keyakinan bahawa sektor padi masih mempunyai masa depan yang cerah sekiranya kita menyediakan kemudahan dan sokongan yang mencukupi,” katanya.
Jamawi berkata penglibatan anak muda amat penting bagi membantu kerajaan mencapai sasaran meningkatkan Tahap Sara Diri (SSL) beras negeri kepada 40 peratus menjelang tahun 2030.
Beliau menegaskan kementerian akan terus memberi tumpuan kepada pembangunan infrastruktur, mekanisasi dan sokongan teknikal bagi memastikan sektor padi Sabah terus berkembang dan kekal mampan pada masa hadapan.
Terdahulu, Jamawi telah melawat ladang komersial penanaman sayuran jenis buah iaitu cili, terung dan timun yang diusahakan oleh seorang anak muda berusia 33 tahun, Bryon Chung Sze Vui yang juga merupakan salah seorang mentor dalam Program Inisiatif Kebun Dapur.
Turut hadir Pembantu Menteri yang juga ADUN Lumadan, Datuk Haji Ruslan Muharam; Pengurus Besar Lembaga Padi dan Beras Sabah (LPBS), Datuk Dr. Ramle Kasin; Ketua Cawangan JPS Sabah, Ir. Jaffri Bahan; Pegawai Daerah Membakut, Yuesri Ismail Yusof; Timbalan Pengarah Jabatan Pertanian Sabah, Jackson R. Jaimi serta Timbalan Pengurus Besar Lembaga Pemasaran Pertanian Sabah (SAMA), Dato Shawn Davey.
































