Donald Peter Mojuntin
PENAMPANG: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.26 Moyog, Datuk Donald Peter Mojuntin menjelaskan proses pengeluaran watikah pelantikan rasmi kepada kesemua 60 Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di kawasan itu sedang berjalan mengikut prosedur yang ditetapkan.
Mengulas laporan media berhubung aduan seorang Pengerusi JKKK di Penampang mengenai kelewatan pengeluaran watikah pelantikan rasmi, beliau berkata, proses pelantikan semua Pengerusi JKKK yang dipilih melalui pengundian di kawasan Moyog sedang dilaksanakan sebaik sahaja pemilihan di peringkat kampung selesai dijalankan.
Katanya, proses pemilihan tersebut dikendalikan oleh Pejabat Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) N.26 Moyog dengan bantuan Ketua-Ketua Masyarakat di bawah Mahkamah Anak Negeri.
“Sebagai ADUN N.26 Moyog, saya sendiri memantau proses ini dari awal hingga akhir bagi memastikan ia dilaksanakan secara telus, adil dan mendapat penerimaan masyarakat,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau menjelaskan Moyog memilih untuk melaksanakan proses demokrasi melalui pilihan raya JKKK, berbeza dengan kebanyakan kawasan lain yang menggunakan kaedah pelantikan terus oleh wakil rakyat atau pihak PPM.
Menurutnya, pelaksanaan pilihan raya JKKK memerlukan tempoh yang lebih panjang kerana melibatkan penyelarasan, pengesahan keputusan serta dokumentasi yang lebih terperinci.
“Oleh sebab itulah berlaku sedikit kelewatan dalam pengeluaran watikah rasmi,” katanya.
Bagaimanapun, Donald menegaskan kelewatan itu tidak menjejaskan fungsi atau keberkesanan majoriti Pengerusi JKKK yang telah dipilih.
Malah, katanya, sebahagian besar daripada mereka sudah menjalankan tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan oleh rakyat kampung masing-masing serta sentiasa berhubung dengan beliau, Pusat Khidmat ADUN Moyog dan Pejabat PPM.
“Ramai yang telah mengemukakan cadangan pembangunan, melaporkan masalah di kampung masing-masing dan turut turun padang bersama saya bagi meninjau isu-isu yang memerlukan tindakan segera,” katanya.
Beliau turut dimaklumkan bahawa kebanyakan JKKK yang dipilih telah membentuk jawatankuasa masing-masing serta mengadakan mesyuarat bagi membincangkan hal ehwal kampung.
Donald berkata, sepanjang beliau turun padang dan bertemu rakyat di seluruh kawasan Moyog, tiada aduan diterima daripada penduduk yang hilang kepercayaan terhadap Pengerusi JKKK hanya kerana watikah rasmi belum diterima.
“Rakyat menilai kepimpinan melalui tindakan dan kesediaan untuk berkhidmat, bukan semata-mata melalui sekeping surat pelantikan,” katanya.
Pada masa sama, beliau berpandangan isu berkaitan JKKK sepatutnya dirujuk terlebih dahulu kepada wakil rakyat dan Pejabat PPM yang mengendalikan proses berkenaan.
Sehubungan itu, beliau menyatakan rasa hairan apabila terdapat Pengerusi JKKK yang memilih untuk membuat aduan terus kepada Kementerian Pembangunan Luar Bandar tanpa mendapatkan penjelasan daripada wakil rakyat kawasan atau Pejabat PPM terlebih dahulu.
Menurutnya, sebagai Pengerusi JKKK, mereka sepatutnya menjadi mata dan telinga Kerajaan di peringkat akar umbi dan menggunakan saluran yang sewajarnya sekiranya terdapat sebarang persoalan atau masalah.
Donald turut memberi jaminan kepada Jacob Harry dan mana-mana Pengerusi JKKK yang masih menunggu watikah bahawa Kerajaan akan mengeluarkan watikah pelantikan tersebut.
“Saya sendiri bersama Pejabat PPM sedang berusaha supaya proses itu dapat diselesaikan secepat mungkin.
“Namun sementara menunggu, saya menyeru agar semua Pengerusi JKKK yang telah dipilih terus melaksanakan amanah yang diberikan oleh rakyat.
“Permintaan rakyat tidak akan menunggu watikah. Masalah jalan raya, bekalan air, kebajikan penduduk, keselamatan kampung dan keperluan pembangunan tidak akan menunggu watikah.
“Rakyat telah memberikan mandat melalui proses pengundian dan mengharapkan khidmat serta kepimpinan bermula dari hari pertama mereka memilih anda.
“Marilah kita memberi tumpuan kepada tugas yang lebih besar iaitu berkhidmat kepada rakyat, membangunkan kampung dan menyelesaikan masalah masyarakat. Watikah akan menyusul, tetapi amanah rakyat telahpun bermula,” katanya.






























