PUTATAN: Masyarakat di kawasan Parlimen Putatan digesa mengambil peluang menyertai pelbagai program kesedaran dan saringan kesihatan yang dilaksanakan Kerajaan bagi meningkatkan tahap kesedaran terhadap penjagaan kesihatan diri serta mengurangkan risiko penyakit, termasuk kanser.
Ahli Parlimen Putatan, Datuk Ir. Shahelmey Yahya berkata, program seumpama itu bukan sahaja membolehkan orang ramai mendapatkan khidmat nasihat daripada pihak berwajib seperti Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), malah membantu membentuk masyarakat yang lebih peka terhadap isu kesihatan.
Beliau berkata, pembabitan dalam program berasaskan komuniti turut memberi manfaat dalam meningkatkan kesedaran mengenai penyakit sedia ada dan langkah pencegahan yang boleh diambil.
“Masyarakat khususnya di kawasan Parlimen Putatan perlu cakna sekiranya ada program berbentuk kesedaran kesihatan dan ambil peluang menyertai taklimat atau saringan yang dilakukan dalam aktiviti program tersebut.
“Dalam membina rakyat yang peka dengan kesihatan masing-masing, program sebegini amat berimpak tinggi selain meningkatkan kesedaran risiko penyakit-penyakit sedia ada.
“Selain dapat menjimatkan masa sekiranya mahu mendapatkan pemeriksaan kesihatan di hospital dan klinik kerajaan, program sebegini juga efisien bagi semua lapisan masyarakat,” katanya ketika berucap pada Program Jejak Kanser anjuran Pusat Khidmat Rakyat Parlimen P.173 Putatan dan Persatuan Pencegah Kanser Sabah (PPKS) di Dewan Serbaguna Kampung Muhibbah, di sini, hari ini.
Shahelmey berkata, program seperti itu juga mampu membantu mengurangkan kesesakan di klinik dan hospital kerajaan, khususnya di Putatan yang melibatkan proses saringan dan pemeriksaan kesihatan.
Katanya, melalui pendekatan tersebut, masyarakat dapat menjalani pemeriksaan awal tanpa perlu menunggu lama untuk mendapatkan perkhidmatan di fasiliti kesihatan kerajaan.
Sementara itu, Shahelmey yang juga Pengerusi Sabah Oil & Gas Development Corporation Sdn. Bhd. (SOGDC) berkata, pihaknya komited melaksanakan program dan kempen kesedaran kesihatan di Putatan bagi mengurangkan risiko penyakit kanser dalam kalangan masyarakat.
Beliau berkata, program saringan dan jangkauan komuniti itu merupakan langkah awal yang penting dalam meningkatkan kesedaran mengenai penjagaan kesihatan serta pencegahan penyakit kanser.
“Program saringan jaringan ini merupakan satu langkah awal dalam kesedaran menjaga kesihatan di kalangan masyarakat kita bagi mencegah mudarat penyakit kanser.
“Pada masa sama, ianya merupakan langkah positif menuju kepada rakyat Putatan kita lebih sihat dan cergas daripada permasalahan penyakit-penyakit seperti kanser ini dari masa ke semasa,” katanya.
Menurut beliau, usaha berterusan menerusi program kesedaran dan saringan mampu membantu melahirkan masyarakat yang lebih sihat, cergas dan peka terhadap kepentingan pengesanan awal penyakit.
Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Keramat, Shah Alfie Yahya; Pegawai Tugas-Tugas Khas Parlimen Putatan, Mohd. Sufian Matin; dan Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Tanjung Keramat, Latip Jiar.
































