Julita Majungki
KOTA KINABALU: Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk Julita Majungki memahami kebimbangan yang dibangkitkan berhubung kekurangan Pegawai Perubatan di Hospital Lahad Datu dan menegaskan bahawa keutamaan ketika ini adalah memastikan perkhidmatan kesihatan kepada rakyat tidak terjejas.
Beliau berkata, Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) sedang mengambil tindakan segera bagi memastikan perkhidmatan kritikal hospital dapat diteruskan tanpa menjejaskan keselamatan dan kebajikan pesakit.
“Apa yang penting ketika ini ialah memastikan gangguan kepada perkhidmatan kesihatan dapat diminimumkan, khususnya bagi pesakit yang memerlukan rawatan kecemasan dan penjagaan rapi.
“Pada masa yang sama, isu tenaga kerja kesihatan perlu dilihat secara menyeluruh kerana ia bukan sahaja melibatkan penempatan pegawai, tetapi juga keperluan mengekalkan tenaga kerja berpengalaman di fasiliti yang berdepan tekanan perkhidmatan yang tinggi,” katanya dalam satu kenyataan.
Julita berkata, langkah yang sedang diambil bertujuan memastikan kesinambungan perkhidmatan kesihatan dapat dikekalkan terutama di hospital yang berdepan beban kerja tinggi.
Beliau berkata, Kerajaan Negeri akan terus bekerjasama rapat dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan JKNS bagi memastikan keperluan perkhidmatan kesihatan di Sabah terus diberi perhatian.
Katanya, tumpuan khusus akan diberikan kepada kawasan Pantai Timur yang berdepan cabaran tersendiri dari segi penyampaian perkhidmatan kesihatan.
“Kerajaan Negeri akan terus bekerjasama dengan KKM dan JKNS bagi memastikan keperluan perkhidmatan kesihatan di Sabah, khususnya di kawasan Pantai Timur, terus diberi perhatian dan diperkukuhkan dari semasa ke semasa,” katanya.
































