Jamawi (kanan) ketika berbincang dengan penduduk kampung.
TAMPARULI: Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, Datuk Jamawi Jaafar memberi amaran tegas kepada pengurusan ladang sebuah syarikat di Kampung Kauluan berhubung isu pencemaran yang didakwa berpunca daripada sistem biogas di kawasan berkenaan.
Beliau yang melakukan lawatan ke ladang itu hari ini berkata, masalah berkaitan sistem biogas yang sepatutnya mengurus sisa tenaga masih menimbulkan pelbagai isu kepada penduduk kampung.
Menurutnya, berdasarkan taklimat diterima, pihak syarikat telah melaksanakan beberapa langkah pencegahan dan penambahbaikan, namun beliau mengakui masih belum berpuas hati dengan tindakan yang diambil setakat ini.
“Saya masih belum berpuas hati dengan sebarang langkah yang telah diberikan. Saya telah menetapkan bahawa setiap tiga bulan saya sendiri akan turun padang ke kawasan ini untuk memantau perkembangan dan memastikan segala perkara yang dibincangkan dilaksanakan,” katanya.
Jamawi turut memberi tempoh enam bulan kepada pihak syarikat untuk menyelesaikan sepenuhnya isu berkenaan.
“Sekiranya dalam tempoh enam bulan perkara ini masih berulang dan tidak dapat diselesaikan, saya tidak teragak-agak untuk mengusulkan kepada Kerajaan supaya tindakan lebih drastik diambil,” tegasnya.
Beliau menegaskan bahawa kepentingan masyarakat kampung tidak boleh dikompromi hanya demi menjaga operasi sesebuah syarikat.
“Kita tidak mahu menjaga hanya beberapa syarikat tetapi mendatangkan kemudaratan kepada lebih ramai penduduk kampung. Kawasan ini seharusnya menjadi contoh walaupun ia penting dari segi biosekuriti negeri dalam pengeluaran ayam dan telur, namun ia mesti bebas daripada pencemaran,” katanya.

Jamawi (kanan) mendengar cadangan penjelasan daripada wakil syarikat perunding (consultant) bagi mengatasi dan menyelesaikan masalah disitu.
Dalam pada itu, Jamawi turut mengemukakan dua cadangan kepada pihak syarikat sekiranya isu berkenaan gagal ditangani dengan baik.
“Pertama, mereka boleh mempertimbangkan untuk memindahkan operasi ke kawasan lain. Kedua, operasi ladang ini sudah berjalan hampir 15 tahun tetapi tiada sebarang program tanggungjawab sosial korporat (CSR) dilaksanakan untuk penduduk kampung,” katanya.
Beliau berkata, adalah wajar syarikat memberi sumbangan kepada komuniti setempat seperti bantuan pendidikan, kemudahan asas dan tabung kebajikan sebagai tanda menghormati penduduk di kawasan tersebut.
“Saya bertugas sebagai Menteri tetapi saya lebih memahami dan memperjuangkan nasib masyarakat kampung. Industri ini (ladang penternakan) memang penting untuk pembangunan ekonomi negeri, tetapi jangan sampai menindas rakyat,” katanya.
Jamawi memberi jaminan bahawa kementeriannya akan terus memantau operasi ladang ternakan secara berterusan dan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang melanggar peraturan.
“Kita akan mengambil tindakan tegas bagi memastikan keselamatan, kesihatan dan kebajikan penduduk kampung sentiasa terjamin,” katanya.




























