Jamawi (tengah) bergambar kenangan ketika menyampaikan lembu korban kepada Pengerusi masjid dan surau serta madrasah.
TENOM: Sebanyak 29 ekor lembu korban diagihkan kepada masjid, surau dan institusi pendidikan agama dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Melalap sempena sambutan Hari Raya Aidiladha tahun ini.
Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melalap, Jamawi Jaafar berkata, daripada jumlah itu, 27 ekor diperuntukkan kepada masjid dan surau, manakala dua ekor lagi diserahkan kepada Madrasah Tahfiz Nur Aisyah dan Madrasah Tahfiz Ar-Raudhah.
“Hari ini, syukur alhamdulillah, kita telah menyampaikan 29 ekor lembu korban kepada pengerusi-pengerusi masjid dan surau dalam DUN Melalap, dengan 27 ekor untuk masjid dan surau serta dua ekor lagi kepada madrasah.

Jamawi (kanan) memberi penjelasan kepada kontraktor ketika melawat Taman Bahagia yang dilanda banjir baru-baru ini.
Menurut beliau, sumbangan berkenaan diadakan sejak tahun 2003 lagi dan diharap dapat mengimarahkan lagi sambutan Aidiladha selain membantu golongan kurang berkemampuan melaksanakan ibadah korban.
“Kita mengharapkan ia dapat mengimarahkan lagi sambutan Aidiladha tahun ini, di samping membantu mereka yang kurang mampu untuk melaksanakan ibadah korban,” katanya pada Program Serahan Binatang Korban 2026 di Surau Al Falah Kg Bunut di sini, hari ini.
Jamawi berkata, sebahagian daripada daging korban itu akan diagihkan kepada golongan fakir miskin serta asnaf di kawasan berkenaan.
“Sebahagian daging korban ini akan disumbangkan kepada fakir miskin dan golongan asnaf, mudah-mudahan dengan niat ini kita dapat memberikan sedikit kegembiraan kepada mereka yang memerlukan,” katanya.
Katanya, sumbangan tersebut membolehkan lebih banyak masjid dan surau di kawasan itu bersama-sama meraikan Aidiladha dalam suasana penuh kegembiraan dan semangat kebersamaan.

Jamawi (dua dari kanan) ketika mengadakan perbincangan bersama Honeylet (kanan) dan kontraktor ketika berada di Kampung Mandalom Lama
Terdahulu, Jamawi memantau pasca banjir Taman Bahagia dan meninjau jalan rosak akibat lori besar di Kg Mandalom Lama serta Kg Bulun. Hadir sama dalam tinjauan itu ialah Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) DUN Melalap, Denesly Justin; Jurutera Jabatan Kerja Raya Tenom, Ir Honeylet Ullap; Jurutera Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Tenom, Lahaman Shah serta wakil daripada Majlis Daerah Tenom.
Jamawi telah mengarahkan kontraktor terbabit untuk membaiki jalan tersebut.






























