Hajiji melihat pameran sempena Hari Hutan Antarabangsa Peringkat Kebangsaan di Dataran Sook.
SOOK: Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor berkata, Kerajaan Negeri, melalui Jabatan Perhutanan Sabah, sedang merangka Pelan Induk Hutan Seluruh Negeri sebagai panduan mengurus sumber hutan Sabah bagi tempoh 25 tahun akan datang.
Beliau berkata, inisiatif itu selaras dengan aspirasi Kerajaan Negeri untuk merasionalisasikan penggunaan tanah bagi mencapai keseimbangan antara pembangunan sosioekonomi dan pemuliharaan alam sekitar.
“Dengan adanya Pelan Induk Hutan ini, Kerajaan Sabah akan memastikan semua Kawasan Sensitif Alam Sekitar (ESA) kekal dilindungi, pada masa sama tidak mengabaikan pembangunan sosioekonomi mampan demi kesejahteraan rakyat Sabah.
“Ini juga selari dengan pelaksanaan Hala Tuju Sabah Maju Jaya menerusi Pelan Pembangunan SMJ 2.0 yang antara lain menggariskan keperluan pembangunan rangkaian infrastruktur dan pembangunan hijau,” katanya ketika merasmikan Hari Hutan Antarabangsa Peringkat Kebangsaan 2026 di Dataran Sook hari ini.
Hajiji turut menegaskan bahawa Kerajaan Negeri kekal komited mengekalkan 50 peratus litupan hutan Sabah, selaras dengan Dasar Hutan Sabah 2018.
Katanya, Sabah ketika ini masih mengekalkan 63 peratus litupan hutan, meliputi 3.85 juta hektar yang diwartakan sebagai rizab hutan dan kawasan perlindungan lain.
“Bagi memperkukuh pengurusan hutan negeri dan melindungi khazanah biodiversiti, Sabah juga komited mengekalkan 2.2 juta hektar atau 30 peratus daripada keluasan tanah negeri sebagai Kawasan Perlindungan Sepenuhnya (TPA),” katanya.
Hajiji berkata, Sabah turut mengenal pasti sebahagian kecil kawasan rizab hutan terosot meliputi kira-kira 400,000 hektar untuk tujuan Pembangunan Perladangan Hutan, seperti yang digariskan dalam Pelan Tindakan Pembangunan Perladangan Hutan (2022–2036).
“Pembangunan Perladangan Hutan ini dilihat sebagai salah satu strategi untuk memulihkan produktiviti hutan terosot, selain mengurangkan kebergantungan industri kayu tempatan terhadap bekalan balak dari hutan semula jadi serta memastikan bekalan bahan mentah yang mampan,” katanya.
Ketua Menteri berkata, sebagai manifestasi keseimbangan antara pembangunan sosioekonomi dan perlindungan sumber semula jadi, Kerajaan Negeri dengan kerjasama Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP) dan Kemudahan Alam Sekitar Global (GEF) akan menerajui pelaksanaan Program Impak Sistem Makanan, Guna Tanah dan Pemulihan (FOLUR IP).
“Program ini melibatkan Pengurusan Landskap Bersepadu meliputi kira-kira 2.1 juta hektar. Ia akan menyelaras perancangan dan pengurusan guna tanah di Sabah bagi membendung kesan pengeluaran kelapa sawit sambil mengekalkan Hutan Bernilai Pemuliharaan Tinggi (HCVF) untuk manfaat alam sekitar dan pembangunan.
“Program ini akan dilaksanakan di 12 daerah di Sabah dan dijangka memberi manfaat kepada kira-kira 56,000 penduduk luar bandar,” katanya.
Pada majlis sama, Hajiji, diiringi Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Sekitar Persekutuan Datuk Seri Arthur Joseph Kurup yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Sook, menyampaikan 1,136 geran Tanah Anak Negeri (NT) bagi kawasan Parlimen Pensiangan melibatkan keluasan keseluruhan 2,303.84 hektar (5,692.9 ekar).
Daripada jumlah itu, 295.51 hektar (730.22 ekar) adalah bagi kawasan Dewan Undangan Negeri Nabawan, 948.82 hektar (2,344.59 ekar) bagi kawasan Tulid dan 1,059.51 hektar (2,618.08 ekar) bagi kawasan Sook.




























