Hajiji melakukan gimik perasmian Pesta Kaamatan Daerah Tongod Tahun 2026.
TONGOD: Kerajaan Negeri terus memberi tumpuan terhadap pembangunan kawasan pedalaman menerusi Pelan Pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ), termasuk memastikan daerah Tongod tidak tercicir daripada arus kemajuan negeri.
Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor berkata, sepanjang tahun lalu hingga pertengahan tahun ini, Tongod merekodkan lonjakan signifikan dalam pembangunan infrastruktur meliputi jaringan jalan raya, sektor ekonomi, pendidikan serta potensi pelancongan lestari.
Katanya, Kerajaan komited memperkasakan rangkaian jalan raya yang menghubungkan Tongod dengan daerah luar seperti Keningau, Telupid, Sandakan dan Tawau bagi meningkatkan mobiliti rakyat serta merancakkan pertumbuhan ekonomi hiliran di kawasan itu.
“Tongod mempunyai kawasan tanah yang luas dan berpotensi untuk pembangunan pertanian moden. Kerajaan Negeri turut menyediakan pelbagai insentif bagi membantu transformasi pertanian sara diri kepada pertanian komersial yang mampu meningkatkan pendapatan isi rumah rakyat,” katanya ketika berucap merasmikan Pesta Kaamatan Peringkat Daerah Tongod Tahun 2026 di Dewan Terbuka Dataran Rakyat Tongod, di sini hari ini.
Hajiji berkata, Kerajaan Negeri turut memberi perhatian serius terhadap pembangunan modal insan khususnya dalam kalangan generasi muda di kawasan pedalaman menerusi pelaburan besar dalam bidang pendidikan dan latihan kemahiran.
“Kita mahu anak-anak muda di Tongod merebut peluang melanjutkan pengajian termasuk dalam bidang kemahiran kerana mereka adalah pemimpin masa depan negeri ini,” katanya.
Beliau berkata, Tongod juga memiliki khazanah alam yang amat bernilai termasuk Kawasan Konservasi Kanyon Imbak yang berpotensi besar untuk dibangunkan sebagai hab eko-pelancongan lestari Sabah.
Katanya, kedudukan Tongod yang berada di tengah-tengah geografi Sabah menjadikan daerah itu sebagai “The Heart of Sabah” atau jantung negeri yang menyatukan wilayah utara, selatan, timur dan barat Sabah.
Menurutnya, pembangunan sektor pelancongan di Tongod perlu bergerak seiring dengan usaha memelihara keaslian budaya masyarakat tempatan termasuk memperkasakan produk kraf tangan, makanan tradisi dan inap desa yang diusahakan penduduk.
“Keharmonian antara pembangunan dan pemuliharaan alam sekitar adalah kunci kepada kemampanan ekonomi Tongod dalam jangka panjang,” katanya.
Sementara itu, mengulas mengenai masalah air dihadapi penduduk Tongod, Hajiji berkata, isu itu akan diatasi menggunakan peruntukan yang disalurkan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) kepada Kerajaan Negeri bagi melaksanakan projek Bekalan Air Luar Bandar (BALB).
Katanya, kuasa melaksanakan projek itu sudah diturunkan kepada Kerajaan Negeri dan bagi tahun ini lebih RM4 bilion disalurkan oleh KKDW untuk tujuan berkenaan.
“Pada April lalu, Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah menyerahkan kuasa kepada Kerajaan Negeri untuk melaksanakan projek bekalan air dengan peruntukan lebih RM4 bilion dan saya berharap daerah Tongod turut mendapat manfaat.
“Inilah yang kita selalu bincang dengan Kerajaan Persekutuan. Jika kita berbincang secara berhemah dan hormat-menghormati, banyak urusan yang sebelum ini dikendalikan Persekutuan atau jabatannya di Sabah kini telah diturunkan kepada negeri, termasuk bekalan air luar bandar di Tongod,” katanya.
Hajiji menegaskan, semangat kerjasama antara negeri dan Persekutuan mesti diteruskan tanpa meminggirkan kepentingan Sabah, di samping menjaga kepentingan Malaysia secara keseluruhan.
“Jangan kerana menuntut hak negeri, kita keruhkan hubungan dengan Persekutuan. Sebaliknya, kita perlu membangunkan negara bersama.
“Sabah adalah negeri yang sama-sama membentuk Malaysia, jadi apa yang kita lakukan mesti dilaksanakan secara bersama supaya Sabah terus maju dengan sokongan Persekutuan,” katanya.
Beliau berkata, walaupun pada masa depan hasil negeri dijangka meningkat termasuk menerusi bayaran cukai bersih 40 peratus, Sabah masih memerlukan kerjasama Persekutuan untuk terus berkembang sebagai negeri maju.
Mengenai sambutan Kaamatan, Hajiji menegaskan bahawa perayaan itu bukan sahaja melambangkan kesyukuran terhadap hasil tuaian, malah menjadi wadah penting dalam memperkukuh perpaduan dan keharmonian rakyat pelbagai kaum di Sabah selaras dengan tema “Menuai Perpaduan, Meraikan Keharmonian”.
Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai cadangan pembinaan pekan baharu Tongod, beliau berkata, projek itu akan dilaksanakan oleh sebuah syarikat swasta di atas tanah milik mereka sendiri.
“Sebuah syarikat swasta akan membangunkan pekan baharu Tongod termasuk membina pejabat kerajaan. Kita mengalu-alukan kerjasama antara sektor swasta dan Kerajaan, dan dengan sokongan wakil rakyat tempatan, usaha ini dijangka dapat direalisasikan dalam tempoh terdekat,” katanya.
Pada majlis itu, Ketua Menteri turut menyerahkan sebanyak 239 geran tanah Anak Negeri (NT) dengan keluasan 583.38 hektar (1,441.57 ekar) kepada rakyat Tongod.
Daripada jumlah itu, sebanyak 199 geran melibatkan keluasan 500.09 hektar (1,235.75 ekar) adalah NT biasa, manakala geran draf PANTAS melibatkan tujuh mukim sebanyak 40 geran dengan keluasan 83.29 hektar (205.82 ekar).
































