Hajiji berswafoto bersama pemenang pelbagai pingat emas Ivan Jovic Suan (hadapan) dan Abdul Halim Mohammad (kedua kanan) selepas majlis.
KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor menyampaikan insentif kemenangan berjumlah RM383,116 kepada atlet Sabah yang memenangi pingat pada Sukan SEA ke-33 dan Sukan Para ASEAN ke-13 di Thailand tahun lalu.
Beliau berkata, insentif itu diharap menjadi pemangkin kepada atlet untuk terus melakar kejayaan lebih besar, sambil menyifatkan pencapaian mereka sebagai batu loncatan ke tahap lebih tinggi.
“Saya berharap insentif ini akan memberi inspirasi untuk anda terus maju. Jangan anggap kejayaan hari ini sebagai penamat, tetapi sebagai permulaan untuk mencapai tahap yang lebih tinggi,” katanya pada majlis penyampaian insentif itu di Dewan Bankuasi, Menara Kinabalu, di sini, hari ini.

Hajiji bersama para penerima insentif selepas majlis penyampaian.
Hajiji turut mengiktiraf peranan penting jurulatih dan keluarga, yang disifatkannya sebagai tulang belakang kepada kejayaan atlet.
Seramai 91 atlet Sabah mewakili Malaysia pada Sukan SEA 2025 dan menyumbang lima pingat emas, 14 perak dan 11 gangsa kepada kontinjen negara.
Pada Sukan Para ASEAN pula, seramai 22 atlet Sabah mencatat pencapaian membanggakan dengan meraih 14 emas, sembilan perak dan empat gangsa.
Daripada jumlah keseluruhan insentif, sebanyak RM146,500 diperuntukkan kepada pemenang pingat Sukan SEA, manakala atlet Sukan Para ASEAN menerima RM236,616.
Ketua Menteri berkata, Kerajaan Negeri berbangga dengan pencapaian semua atlet Sabah yang telah mengharumkan nama negeri dan negara.
Beliau turut menekankan pencapaian cemerlang perenang Paralimpik, Abdul Halim Mohammad dan pelari pecut, Ivan Jovic Suan, kedua-duanya dari Tuaran.
Abdul Halim muncul penyumbang utama dengan memenangi lima pingat emas dalam acara individu, mencipta empat rekod baharu, selain satu perak dan satu gangsa dalam acara berpasukan. Beliau juga dinobatkan sebagai Atlet Lelaki Terbaik Malaysia pada Sukan Para ASEAN 2025 oleh Majlis Paralimpik Malaysia.
Ivan pula mencuri perhatian apabila meraih tiga pingat emas termasuk satu rekod baharu, pada usia hanya 18 tahun.
Hajiji menegaskan Kerajaan Negeri akan terus menyalurkan peruntukan yang besar dan konsisten bagi memastikan lebih banyak aktiviti dapat dilaksanakan serta menyediakan infrastruktur sukan moden dari semasa ke semasa bagi memenuhi keperluan atlet untuk latihan yang lebih efisien dan selamat.
“Melalui dasar sukan yang telah kita rancang, Kerajaan sedang berusaha membudayakan sukan serta meningkatkan tahap kesihatan rakyat negeri ini dengan menyediakan peluang yang sama kepada semua lapisan masyarakat.
“Saya percaya Kementerian Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah di bawah kepimpinan Datuk Nizam Abu Bakar Titingan dan Dato’ Sri Dr. Anil Sandhu, yang sentiasa berjiwa muda, akan terus berusaha merancang pembangunan yang lebih menyeluruh dan berkesan untuk Sabah mencapai tahap kemajuan yang lebih membanggakan,” katanya.
Pada masa yang sama, Ketua Menteri turut menggesa semua pihak yang terlibat dalam pembangunan sukan, termasuk jurulatih, pengurus dan atlet, agar memanfaatkan sepenuhnya semua kemudahan yang disediakan bagi meningkatkan pencapaian dalam sukan masing-masing.
“Ini termasuk memastikan kejayaan yang lebih besar, bukan sahaja di peringkat kebangsaan tetapi juga di pentas antarabangsa,” katanya.
































