Donald Peter Mojuntin
KOTA KINABALU: Lembaga Pelabuhan Sabah (SPA) memandang serius kebimbangan pelbagai pihak berhubung kesesakan operasi di Pelabuhan Kontena Sapangar Bay (SBCP) yang kini memberi tekanan kepada rantaian bekalan negeri.
Pengerusinya, Datuk Donald Peter Mojuntin berkata, kecekapan pelabuhan amat penting memandangkan Sabah bergantung kepada perdagangan, import dan eksport, sekali gus memberi kesan langsung kepada kos sara hidup, daya saing industri serta keyakinan pelabur.
“Kita melihat isu kesesakan pelabuhan ini sebagai perkara berkepentingan nasional dan ekonomi Sabah yang memerlukan tindakan segera serta berani,” katanya dalam satu kenyataan.
Donald berkata, SPA bersama Kementerian Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Sabah (MINDET) tidak memandang ringan perkara itu, malah beberapa langkah interim telah dilaksanakan bagi mengurangkan tekanan semasa.
Beliau berkata, antara langkah awal yang diambil ialah memindahkan operasi Roll-on/Roll-off (Ro-Ro) dari SBCP ke Pelabuhan Kota Kinabalu bagi menambah kapasiti pengendalian kontena di pelabuhan berkenaan.
“Langkah ini dilaksanakan dengan penyediaan ruang serta pengaturan operasi yang bersesuaian bagi memastikan ia berjalan teratur dan berkesan,” katanya.
Dalam masa sama, SPA turut giat menyediakan ruang tambahan bagi operasi kontena di SBCP dengan kerjasama pihak berkaitan.
Donald berkata, usaha tersebut merupakan tambahan kepada lapan langkah interim yang diumumkan MINDET sebelum ini bagi menangani kesesakan berkenaan.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Menteri MINDET, Datuk Ewon Benedick atas pendekatan proaktif dan berterusan dalam menyelaras tindakan bagi mengatasi isu itu sejak mengambil alih kementerian pada Disember tahun lalu.
Menurutnya, antara cabaran operasi yang dikenal pasti termasuk peningkatan jumlah kontena, tekanan kapasiti yard, ketibaan kapal tidak sekata serta gangguan operasi yang menjejaskan masa pusingan dan aliran keluar masuk kontena.
Katanya, situasi global yang mencabar seperti ketidaktentuan geopolitik dan peningkatan kos logistik turut memberi kesan lebih ketara kepada Sabah.
“Fokus utama kita bukan untuk menyalahkan mana-mana pihak, tetapi memastikan semua pihak berkepentingan bekerjasama secara konstruktif untuk menstabilkan keadaan secepat mungkin,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, kebimbangan berkaitan surcaj tambahan turut diberi perhatian segera melalui perbincangan bersama industri yang dipengerusikan MINDET pada 15 Mei lalu.
“Hasil perbincangan, pengendali ‘feeder’ bersetuju menangguhkan pelaksanaan surcaj tambahan buat masa ini bagi mengurangkan tekanan kos kepada rantaian bekalan dan ekonomi negeri,” katanya.
Tambahnya, SPA mengalu-alukan cadangan membina daripada semua pihak termasuk memperkukuh koordinasi operasi, meningkatkan kecekapan pengurusan yard serta menambah baik komunikasi operasi.
Beliau menegaskan SBCP kekal sebagai aset strategik utama pembangunan ekonomi Sabah dan kerajaan negeri komited memperkukuh sistem pelabuhan demi kepentingan jangka panjang.
“SPA akan terus bekerjasama rapat dengan semua agensi berkaitan bagi memastikan langkah penstabilan dan penambahbaikan dilaksanakan dengan segera dan berkesan,” katanya.
































