Jamawi (tiga dari kanan) menyempurnakan upacara memotong padi bersama Syazwan serta disaksikan oleh tetamu jemputan.
SEMPORNA: Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, Datuk Jamawi Jaafar menegaskan komitmen Kerajaan Negeri untuk memperkukuh sektor perikanan dan rumpai laut di daerah ini bagi meningkatkan pendapatan masyarakat setempat.
Beliau berkata, potensi besar sumber laut di Semporna perlu dimanfaatkan sepenuhnya, termasuk usaha mewujudkan kemudahan pendaratan dan pembungkusan ikan yang lebih sistematik.
“Semporna memiliki khazanah laut yang sangat besar, termasuk ikan tuna yang berpotensi untuk dieksport, namun kita masih kekurangan kemudahan pendaratan dan pembungkusan yang teratur,” katanya ketika berucap merasmikan Sambutan Pesta Kaamatan Peringkat Daerah Semporna 2026 di sini hari ini.
Jamawi berkata, cadangan pembinaan jeti pendaratan ikan sedang diperhalusi bersama (LKIM) dan Kementerian Ekonomi bagi memastikan hasil laut tempatan dapat dipasarkan dengan nilai lebih tinggi.
Beliau berkata, kementeriannya turut mengenal pasti dua tapak strategik di daerah itu yang sesuai dibangunkan sebagai pusat pendaratan ikan.

Jamawi (tengah) merakamkan gambar kenangan bersama dengan semua yang hadir.
Selain sektor perikanan, beliau turut memberi penekanan terhadap pembangunan industri rumpai laut yang kini semakin mendapat permintaan di pasaran antarabangsa.
“Produk rumpai laut dari Semporna telah menembusi pasaran ke Amerika Syarikat, Eropah dan Jepun, namun kita masih kekurangan bekalan mentah daripada pengusaha tempatan,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menggalakkan lebih ramai penduduk menceburi industri berkenaan dengan jaminan sokongan kerajaan termasuk bantuan infrastruktur seperti pelantar pengeringan dan pagar perlindungan.
Jamawi turut menegaskan kepentingan menjaga ekosistem marin, khususnya penyu yang menjadi tarikan pelancong di Semporna.
“Kita tidak mahu aktiviti penternakan rumpai laut menjejaskan habitat penyu. Sebab itu kita sediakan sistem pagar khas supaya kedua-dua sektor ini dapat berkembang secara seimbang,” katanya.

Jamawi berkesempatan membuat pemeriksaan tekanan darah di pameran Kementerian Kesihatan Malaysia (Hospital Daerah Semporna).
Dalam pada itu, beliau berkata, kementerian akan terus memperluas aktiviti pertanian lain termasuk tanaman pisang, kelapa pandan, mangga dan ubi kayu bagi memenuhi permintaan sektor pelancongan yang semakin berkembang di daerah berkenaan.
Katanya, kehadiran sehingga 2,000 pelancong setiap hari membuka peluang besar kepada petani, penternak dan nelayan tempatan untuk membekalkan hasil segar.
“Jangan biarkan peluang ini diambil sepenuhnya oleh pihak luar. Hasil pertanian dan perikanan Semporna perlu menjadi pilihan utama,” tegasnya.
Jamawi berkata, beliau akan kembali semula ke Semporna dalam tempoh tiga bulan bagi menilai keperluan lanjut komuniti nelayan dan memastikan segala perancangan dapat dilaksanakan.
Terdahulu, beliau turut mengadakan lawatan ke Pulau Bum Bum bagi meninjau cadangan menaik taraf kemudahan perikanan serta projek berkaitan di bawah kementeriannya.
Mengulas mengenai sambutan Kaamatan, Jamawi berkata, perayaan itu bukan sahaja simbol hasil pertanian, tetapi juga boleh diraikan sebagai simbol “menuai hasil laut” bagi masyarakat Semporna.
Beliau turut memuji semangat perpaduan masyarakat pelbagai kaum di daerah itu yang terus menyemarakkan sambutan Kaamatan walaupun majoriti penduduk bukan daripada etnik Kadazan Dusun dan Murut.
Dengan itu, katanya, nilai toleransi dan keharmonian yang ditunjukkan mampu memperkukuh perpaduan masyarakat di Sabah secara keseluruhan.
Hadir sama, Pegawai Daerah Semporna yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pelaksana Pesta Kaamatan Peringkat Daerah Semporna, Mas Syazwan Masood; Usahawan perhotelan, Datuk Seri Panglima Datuk Dr. Tang; Ketua Polis Daerah (KPD) Semporna, Superintenden Tan Hiap Wah; Pegawai Pendidikan Daerah Semporna, Hajah Rozita Anjuh, Pengerusi KDCA, Hilda Kinsil serta Pegawai-pegawai Jabatan dan Agensi di bawah MAFFI.
































