Evaristus (dua dari kiri) ketika bergambar kenangan bersama di konti SABAHFM.
KOTA KINABALU : Pertandingan akhir Sugandoi Kaamatan Peringkat Negeri Sabah 2026 akan berlangsung di Dewan Hongkod Koisaan KDCA, 23 Mei ini.
Pengerusi Pelaksana Sugandoi Peringkat Negeri Sabah 2026, Datuk Evaristus Gungkit berkata, pertandingan akhir akan diadakan pada sebelah petang bermula jam 2 petang berbanding kebiasaan pada waktu malam.
“Pertandingan peringkat negeri tahun ini akan bermula pada 16 Mei jam 8.00 pagi hingga 5.00 petang dengan sesi pendaftaran sebelum diteruskan dengan pusingan saringan dan separuh akhir sehingga pertandingan akhir.
“Setakat ini, seramai 52 peserta sudah mengesahkan penyertaan bagi pertandingan Sugandoi Kaamatan tahun ini.
“Antara pembaharuan pada tahun ini adalah pertandingan akhir akan diadakan pada sebelah petang bermula jam 2 petang kerana kalau kita mula malam pukul 7, kadang-kadang tamat sehingga tengah malam.
“Budak-budak pun mengantuk dan penonton pun penat maka tahun ini kita cuba mulakan lebih awal supaya selesai sekitar jam 6 atau 7 petang,” katanya kepada media selepas sesi temubual di konti Sabah FM, Kompleks Bersepadu Kementerian Komunikasi di sini, pada Jumaat.
Menurut beliau, Pertandingan Sugandoi Kaamatan pada tahun ini tampil dengan beberapa pembaharuan istimewa tahun ini termasuk perluasan had umur peserta bagi kategori terbuka.
“Langkah ini dibuat berdasarkan beberapa pertimbangan antaranya ialah untuk memberi akses lebih inklusif kepada bakat muda seawal remaja 13 tahun, yang mungkin sebelum ini belum berpeluang bertanding di peringkat negeri.
“Kita masih mengekalkan ruang kepada peserta dewasa yang sudah berpengalaman dalam dunia nyanyian, secara tidak langsung, ini mewujudkan persaingan sihat antara generasi muda dan berpengalaman yang akhirnya akan menaikkan standard pertandingan.
“Kita juga mahu Sugandoi terus relevan dengan perubahan zaman tanpa mengorbankan nilai budaya asal,” ujarnya.
Evaristus turut berharap edisi kali ini mampu menampilkan persembahan berkualiti tinggi serta membuka peluang kepada peserta berbakat diketengahkan sebagai bakat seni masa depan Sabah.
































