KOTA KINABALU: Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM), Jabatan Ketua Menteri (JKM) Ibu Pejabat telah mengadakan sesi libat urus bersama Sabah Electricity Sdn. Bhd. melibatkan UPPM kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen Sepanggar, Kota Kinabalu, Penampang dan Papar di Bilik Mesyuarat UPPM, Menara Kinabalu, di sini, hari ini.
Sesi berkenaan dihadiri Pengarah UPPM, Datuk Awang Kadin Tang, serta Ketua Pegawai Eksekutif Sabah Electricity, Datuk Ir. Ts. Mohd. Yaakob Jaafar, bersama pegawai kanan Sabah Electricity, UPPM Ibu Pejabat serta Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) dan Community Development Officer (CDO) dari kawasan terlibat.
Program itu diadakan bagi memperkukuh koordinasi dan penyelarasan antara Sabah Electricity dan UPPM Sabah, khususnya dalam memastikan pelaksanaan program pembangunan serta penyampaian perkhidmatan kepada rakyat dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.
Majlis tersebut turut menjadi platform untuk bertukar pandangan, berkongsi maklumat semasa serta membincangkan isu dan cabaran di peringkat akar umbi agar tindakan susulan dapat diambil secara lebih tersusun dan menyeluruh.
Selain itu, Sabah Electricity turut memberikan penjelasan berhubung isu kenaikan bil elektrik yang tular, termasuk penerangan mengenai wang cagaran serta faktor-faktor yang menyumbang kepada peningkatan bil.
Dalam perkembangan berkaitan, Sabah Electricity juga telah menambah baik aplikasi mySE+, mencerminkan komitmen berterusan syarikat dalam menyediakan platform digital yang lebih responsif, mesra pengguna dan memenuhi keperluan pelanggan.
Dalam sesi itu, Awang Kadin menekankan kepentingan kerjasama erat serta komitmen semua pegawai dan PPM dalam memastikan dasar serta inisiatif Kerajaan Negeri dapat diterjemahkan secara efektif kepada rakyat.
Sesi soal jawab yang berlangsung pada akhir program turut memberi ruang kepada pemimpin komuniti untuk membincangkan isu semasa yang sering dibangkitkan oleh masyarakat setempat.
Beliau turut menyeru semua pihak agar terus memperkukuh semangat kerja berpasukan dan meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan demi kesejahteraan masyarakat di kawasan masing-masing.
































