Mohamed Nazim Maduarin
KOTA KINABALU: Sabah Law Society (SLS) menyambut baik dan memuji tindakan Kerajaan Negeri menangguhkan pelaksanaan Akta Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia 2024 (Akta 860).
Presidennya, Datuk Mohamed Nazim Maduarin berkata, keputusan itu mencerminkan keutamaan Kerajaan Negeri terhadap kepastian Perlembagaan berbanding kepantasan pentadbiran.
Katanya, langkah tersebut menunjukkan tahap kepekaan undang-undang yang tinggi dalam melindungi jaminan Perlembagaan Sabah di bawah Perlembagaan Persekutuan serta Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
“SLS berpandangan keputusan ini adalah satu pendirian berprinsip yang menegaskan bahawa perlindungan Perlembagaan bukan sekadar perkara pentadbiran, tetapi hak statutori yang mesti dihormati sepenuhnya,” katanya dalam satu kenyataan.
Mengulas lanjut, beliau berkata, semakan bebas terhadap Akta 860 mendapati wujud beberapa kerumitan undang-undang yang signifikan berkaitan autonomi Sabah.
Menurutnya, antara isu utama adalah peruntukan “perintah tidak langsung” di bawah Seksyen 6(3) yang mewujudkan ketidakselarasan dari segi rantaian kuasa.
Katanya, apabila agensi baharu itu diwajibkan mematuhi arahan negeri hanya melalui Pengarah Imigresen, ia menimbulkan ketidakpastian undang-undang sekiranya agensi tersebut mengambil alih peranan barisan hadapan Jabatan Imigresen.
“SLS menegaskan bahawa bagi memastikan status ‘Undang-Undang Khas’ Sabah di bawah Bahagian VII Akta Imigresen 1959/63 kekal bermakna, kuasa arahan kerajaan negeri mesti bersifat langsung, jelas dan mempunyai kepastian undang-undang,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, Kerajaan Negeri juga bertindak bijak dengan mengenal pasti ketidakselarasan antara Akta 860 dan Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155).
Katanya, Akta 155 merupakan undang-undang khas yang menjadi sebahagian daripada kerangka Perlembagaan Sabah dan sebarang usaha pemusatan kuasa penguatkuasaan sempadan mesti diselaraskan sepenuhnya dengan perlindungan sedia ada.
“Sekiranya tidak diselaraskan, pegawai penguat kuasa di lapangan berdepan risiko cabaran undang-undang berkaitan bidang kuasa serta pendedahan liabiliti yang tidak perlu,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa pendirian Kerajaan Negeri yang menuntut kejelasan undang-undang berbanding jaminan lisan adalah satu penegasan penting terhadap prinsip kedaulatan undang-undang di Sabah.
Menurutnya, penangguhan pelaksanaan akta itu bukan sekadar langkah pentadbiran, sebaliknya satu keperluan Perlembagaan bagi mengelakkan ketidakpastian dari sudut perundangan dan operasi.
“SLS berpendapat adalah menjadi tanggungjawab Kerajaan Persekutuan untuk memastikan sebarang rangka kerja pengurusan sempadan yang dicadangkan mestilah tertakluk sepenuhnya kepada jaminan Perlembagaan Sabah,” katanya.
Beliau menambah bahawa keabsahan mana-mana model pengurusan sempadan pada masa depan bergantung kepada keselarasan mutlak dengan autonomi Perlembagaan Sabah dan bukannya semata-mata kecekapan operasi.
Sementara itu, SLS turut menyatakan kesediaan untuk membantu kerajaan dalam tempoh penangguhan tersebut.
Katanya, pihaknya bersedia menawarkan kepakaran perundangan termasuk menjalankan audit undang-undang komprehensif serta merangka protokol operasi yang kukuh.
“Matlamat kami adalah untuk memastikan sebarang kerangka sempadan pada masa hadapan bukan sahaja cekap, tetapi juga berlandaskan Perlembagaan dan menghormati sepenuhnya semangat asal 1963,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa SLS akan terus memainkan peranan dalam memberikan penelitian undang-undang bagi memastikan hak Sabah kekal terpelihara dan menjadi keutamaan.
































