Haji Hajiji Haji Noor
KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah menyokong sepenuhnya aspirasi Pelan Pendidikan Malaysia (RPM) 2026–2035, khususnya dalam memperkukuh pendidikan dan infrastruktur digital, kebajikan guru, Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).
Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor berkata, Kerajaan Negeri turut memberi penekanan terhadap aspek kesaksamaan pendidikan, pendidikan luar bandar yang inklusif, penerapan nilai serta identiti tempatan dan pemerkasaan kepimpinan sekolah.
Beliau berkata, sinergi erat antara Kerajaan Negeri dan Persekutuan dijangka dapat membantu menyelesaikan secara menyeluruh isu sekolah daif dan kekurangan guru di kawasan luar bandar Sabah dalam tempoh 10 tahun akan datang.
“Kerajaan Negeri juga bekerjasama rapat dengan Kerajaan Persekutuan bagi merealisasikan agenda memperkasa kecemerlangan serta meningkatkan mutu pendidikan di negeri ini, termasuk menambah baik dan menaik taraf kemudahan serta infrastruktur pendidikan.
“Kehadiran pegawai kanan Kementerian Pendidikan Malaysia pada hari ini mencerminkan kerjasama kukuh antara Kerajaan Negeri dan Persekutuan, khususnya ketika pelaksanaan awal RPM 2026–2035 sedang dilaksanakan,” katanya ketika merasmikan Konvensyen Pendidikan dan Mesyuarat Agung Keempat Persatuan Guru Besar Malaysia (PGBM) Cawangan Sabah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), hari ini. Teks ucapan beliau disampaikan oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi negeri, Datuk James Ratib.
Hajiji berkata, pendidikan terus menjadi agenda utama Kerajaan Negeri menerusi pelan pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ), walaupun bidang pendidikan berada di bawah tanggungjawab kerajaan Persekutuan.
Katanya, dari tahun 2021 hingga 2025, Kerajaan Negeri memperkenalkan 14 inisiatif bantuan pendidikan dan semua inisiatif itu diteruskan tahun ini bagi mengurangkan beban sekolah serta memastikan pelajar Sabah tidak tercicir daripada arus pendidikan perdana.
Antara bantuan yang disediakan ialah Bantuan Ihsan Sekolah Sabah (BISBAH), Bantuan Ihsan Komputer (BAIK), Bantuan Tunai Pendaftaran IPT (BUDI), Bantuan Aktiviti Guru dan Ibu Bapa Sabah (BAGUS), Bantuan Khas Tunai Peperiksaan (BAKTI) serta program Bantuan Penyelenggaraan Kecil Sekolah (BALKIS).
Turut disediakan ialah Program Bantuan Khas Pendidikan (BANTU), Anugerah Khas Kecemerlangan Pelajar (AKSA), Sumbangan Kegiatan Sekolah Sabah (SUKSES), selain biasiswa, geran pengajian, pinjaman pelajaran dan bantuan zakat.
Hajiji berkata, guru besar memainkan peranan penting sebagai pemimpin utama sekolah dan menjadi tulang belakang dalam membentuk kualiti pendidikan serta masa depan generasi muda di Sabah.
Katanya, cabaran landskap pendidikan masa kini memerlukan pemimpin sekolah bukan sahaja cekap mentadbir, tetapi juga mempunyai empati tinggi terhadap warga sekolah serta berupaya memimpin perubahan.
“Saya berharap konvensyen ini menjadi platform terbaik untuk merangka hala tuju masa depan, menilai pencapaian serta membincangkan strategi dalam menyokong agenda pendidikan negara.
“Saya juga berharap PGBM Sabah akan terus menjadi platform kukuh dalam menyuarakan aspirasi guru besar dan memartabatkan profesion perguruan,” katanya.






























