KOTA KINABALU: Seorang lelaki ditemukan meninggal dunia dalam keadaan terbaring di belakang sebuah rumah di Taman Iramanis, Luyang, di sini, petang semalam.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintenden Syed Lot Syed Ab. Rahman berkata, pihak Balai Polis Luyang menerima panggilan kira-kira jam 5.30 petang daripada seorang pengadu yang meminta bantuan selepas menemui seorang lelaki tidak dikenali dalam keadaan tidak sedarkan diri.
Katanya, siasatan awal mendapati pengadu dihubungi jirannya yang memaklumkan terdapat seorang lelaki terbaring di belakang rumahnya.
“Pengadu kemudian bergegas pulang ke rumah untuk melihat lelaki tersebut yang berada di belakang pintu dapur rumahnya dalam keadaan tidak sedarkan diri sebelum menghubungi ambulans dan polis untuk bantuan,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut beliau, pemeriksaan oleh doktor dari Hospital Queen Elizabeth II mengesahkan lelaki terbabit telah meninggal dunia kira-kira jam 6.34 petang.
Katanya, hasil pemeriksaan Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Kota Kinabalu bersama Pasukan Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah mendapati tiada unsur jenayah dikesan pada tubuh mangsa.
“Pemeriksaan mengesahkan tubuh badan mangsa tidak menunjukkan sebarang tanda unsur jenayah yang boleh dikaitkan sebagai punca kematian,” katanya.
Beliau berkata, mayat mangsa kemudian dibawa ke Unit Forensik Hospital Queen Elizabeth I untuk tujuan bedah siasat.
Katanya, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).
Dalam pada itu, orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih yang boleh menjejaskan siasatan polis.






























