Joniston (tengah) mewakili Ketua Menteri menyertai upacara simbolik menuai padi sebagai merasmikan pembukaan sambutan Pesta Kaamatan Tuaran di Dewan Sri Sulaman hari ini.
TUARAN: Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor berkata, Pesta Kaamatan terus menjadi platform penting dalam memperkukuh perpaduan, memupuk semangat kebersamaan serta mengeratkan hubungan dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum di Sabah.
Beliau berkata, sambutan itu bukan sekadar mengenai pemeliharaan warisan budaya, tetapi turut menekankan nilai hormat-menghormati, kerjasama dan keharmonian dalam kalangan rakyat.
“Kita semua perlu mengambil iktibar daripada sambutan ini dengan terus memupuk semangat kebersamaan dan perpaduan sebagai satu keluarga besar,” katanya pada sambutan Pesta Kaamatan peringkat daerah Tuaran di Dewan Sri Sulaman di sini hari ini. Ucapan beliau disampaikan oleh Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Joniston Bangkuai.
Hajiji berkata, tema sambutan tahun ini, “Kaamatan: Menuai Perpaduan, Merayakan Keharmonian”, mencerminkan kepentingan mengekalkan perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum dan etnik di Sabah.
Beliau berkata, kestabilan politik dan perpaduan amat penting dalam memastikan kemajuan dan pembangunan berterusan di negeri ini.
“Dengan pembentukan Kerajaan Negeri baharu bagi penggal kedua pada November lalu, agenda pembangunan holistik di bawah Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 akan terus menjadi panduan dalam membawa Sabah ke tahap kejayaan yang lebih tinggi,” katanya.
Menurut Hajiji, kejayaan yang dicapai menerusi Pelan Pembangunan SMJ 1.0 membuktikan pendekatan pentadbiran Kerajaan sejak lima tahun lalu berada di landasan yang tepat.
Beliau berkata, SMJ 2.0 akan terus memberi tumpuan kepada transformasi melalui perubahan minda, budaya kerja serta penciptaan nilai baharu bagi memastikan kemajuan mampan.
Ketua Menteri turut memberi jaminan bahawa Kerajaan Negeri akan terus memperkukuh ekonomi dengan memperkasa sektor utama seperti pertanian, pelancongan, perindustrian dan ekonomi digital.
Pada masa sama, katanya, penekanan turut diberikan kepada pembangunan modal insan melalui peningkatan pendidikan, kemahiran serta kebolehpasaran tenaga kerja tempatan.
Hajiji menyifatkan Pesta Kaamatan sebagai sambutan yang amat signifikan selaras dengan usaha Kerajaan Negeri memelihara kekayaan budaya dan warisan masyarakat di Sabah.
“Kerajaan Negeri akan terus menyokong sambutan kebudayaan dan keagamaan kerana program seperti ini mampu memperkukuh perpaduan dalam kalangan rakyat,” katanya.
Beliau berkata, Kaamatan kini bukan sahaja diraikan oleh masyarakat Kadazandusun, Murut dan Rungus, malah telah menjadi perayaan yang disambut oleh seluruh rakyat Sabah.
Sementara itu, Hajiji menyeru rakyat tanpa mengira kaum dan agama supaya terus memelihara perpaduan serta tidak mudah terpengaruh dengan unsur-unsur yang boleh menggugat keharmonian yang sekian lama dinikmati di negeri ini.
“Apa yang penting ialah rakyat terus menyokong Kerajaan supaya lebih banyak pembangunan dapat dibawa ke Sabah,” katanya.






























