Atin Belynda (empat dari kanan) menerima cendera kenangan daripada Mohd Yusni (tiga dari kiri).
KOTA KINABALU : Majlis Penasihat Wanita Sabah (MPWS) memfokuskan tiga bidang utama iaitu pendidikan, kepimpinan dan keusahawanan dalam memperkasa martabat wanita di negeri ini.
Ahli Jawatankuasa Induk, Datin Atin Belynda Buntot berkata, tiga fokus utama MPWS tersebut selaras dengan saranan Ketua Menteri Sabah dan setakat ini, hampir 70 peratus perancangan telah berjaya dilaksanakan menerusi beberapa siri program melibatkan wanita di seluruh Sabah.
Atin memaklumkan MPWS bersama Jabatan Hal Ehwal Wanita Sabah (JHEWA) turut bercadang menjalinkan kerjasama strategik dengan Jabatan Penyiaran Malaysia (RTM) Sabah bagi memperkukuh penyampaian maklumat berkaitan pembangunan wanita kepada masyarakat.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kecil Wanita dan Media MPWS berkata demikian kepada media selepas kunjungan hormat terhadap Pengarah RTM, Mohd Yusni Mohamed Ali di pejabatnya, pada Rabu.
Menurut Atin, kunjungan itu menjadi langkah awal MPWS dan JHEWA untuk berkenalan dan memulakan kerjasama dengan RTM, bagi memastikan isu dan pembangunan wanita Sabah sampai kepada masyarakat dengan lebih meluas dan berkesan
































