Johari mewakili Masidi bergambar bersama para pegawai, mahasiswa serta pelajar.
RANAU: Kerajaan Negeri terus memberi penekanan terhadap usaha memperkukuh pembangunan modal insan, khususnya dalam kalangan generasi muda, kata Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Masidi Manjun.
Beliau berkata, pelbagai inisiatif telah dan sedang dilaksanakan termasuk bantuan pendidikan dan biasiswa, sokongan kepada pelajar daripada keluarga kurang berkemampuan serta usaha memperluas akses pendidikan di kawasan luar bandar.
“Usaha ini dilaksanakan bagi memastikan setiap anak Sabah mempunyai peluang yang adil untuk berjaya tanpa mengira latar belakang,” katanya pada Festival Akademik Tingkatan Enam dan Program Operasi Khidmat Masyarakat (OPKIM) 2026 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Mat Salleh, Ranau. Teks ucapan beliau dibacakan oleh Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan, Johari Suhaimin.
Masidi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Karanaan berkata, kejayaan inisiatif berkenaan tidak bergantung kepada kerajaan semata-mata, sebaliknya memerlukan sokongan berterusan institusi pendidikan, penglibatan mahasiswa serta kesungguhan pelajar sendiri.
Tambah beliau, pendekatan bersepadu antara semua pihak penting bagi memastikan setiap peluang yang disediakan sampai kepada kumpulan sasaran dan memberi impak berpanjangan.
“Program seperti ini merupakan contoh kerjasama berkesan antara semua pihak, khususnya dalam merapatkan jurang antara institusi pendidikan dan komuniti setempat,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menegaskan fasa Tingkatan Enam merupakan asas penting dalam pembentukan masa depan pelajar, bukan sekadar persediaan peperiksaan tetapi juga pembinaan disiplin, pemikiran dan hala tuju hidup.
“Dalam tempoh ini, keupayaan membuat keputusan, mengurus masa dan menetapkan matlamat hidup mula dibentuk secara lebih tersusun,” katanya.
Beliau turut menggalakkan pelajar memanfaatkan peluang sepanjang program untuk mendapatkan pendedahan mengenai laluan selepas Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), termasuk pendidikan tinggi dan biasiswa.
“Pelajar tidak seharusnya ragu untuk bertanya, mencuba dan meneroka peluang yang ada kerana setiap pengalaman membantu membuat keputusan lebih tepat pada masa hadapan,” katanya.
Sementara itu, Masidi merakamkan penghargaan kepada penganjur Persatuan Mahasiswa/i Sabah UKM (PERMIS) serta mahasiswa yang terlibat dalam pelaksanaan program tersebut.
Menurut beliau, penglibatan dalam aktiviti bersama komuniti memberi pengalaman berharga serta membentuk kemahiran insaniah.
“Pengalaman ini membantu membina kemahiran kepimpinan, komunikasi serta empati dalam kalangan mahasiswa, sekali gus melahirkan generasi masa depan yang lebih seimbang,” katanya.
Turut hadir Pegawai Pelajaran Bahagian Pembangunan Pendidikan Yayasan Sabah, Nor Bijaya Timala Maskor; Pegawai Majlis Amanah Rakyat (MARA) Kota Kinabalu, Hasslin Talil; Yang di-Pertua PERMIS Sesi 2025/2026, Debora Sylvia Devid; Penolong Kanan Tingkatan Enam SMK Mat Salleh, Agnes Godtol dan lain-lain.
































