KOTA KINABALU: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan penemuan satu mayat terapung di perairan berhampiran Kampung Pulau Gaya, di sini, hari ini.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Polis Kasim Muda berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu sebelum sepasukan pegawai dan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu bersama pasukan forensik digerakkan ke lokasi.
“Bertindak atas maklumat tersebut, sepasukan pegawai dan anggota polis daripada IPD Kota Kinabalu bersama pasukan forensik telah digerakkan ke lokasi kejadian bagi menjalankan siasatan lanjut serta proses mengangkat mayat,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, setakat ini identiti mangsa masih belum dapat dikenal pasti.
Katanya, mayat telah dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu untuk tujuan bedah siasat bagi menentukan punca kematian.
Sehubungan itu, beliau berkata orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kehilangan ahli keluarga atau individu yang dipercayai berkaitan dengan kejadian diminta tampil membantu siasatan.
“Orang ramai boleh menghubungi Pegawai Penyiasat kes, ASP La Paula Bin Abdul Muis di talian 011-64115848 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.
Kasim turut menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih yang boleh menjejaskan siasatan pihak polis.
Katanya, perkembangan lanjut kes itu akan dimaklumkan dari semasa ke semasa selepas laporan bedah siasat diperoleh.
































