Tun Musa (tiga dari kanan) melihat buku yang diberikan oleh Mufti Menk (tiga dari kiri).
KOTA KINABALU: Kehadiran tokoh ulama antarabangsa yang disegani, Sheikh Ismail Mufti Menk ke Sabah membawa misi besar dalam memperkasakan syiar Islam dan semangat perpaduan kaum di Negeri Di Bawah Bayu.
Mufti Menk turut menzahirkan rasa kagum terhadap model kebersamaan yang diamalkan oleh rakyat Sabah dan keunikan Sabah yang didiami pelbagai etnik tanpa menggugat keamanan adalah satu contoh yang luar biasa.
“Sabah adalah tempat yang sangat unik di mana wujudnya kebersamaan yang hebat antara rakyatnya yang terdiri dari pelbagai latar belakang.
“Ini adalah satu anugerah yang perlu dipelihara, dilindungi serta disedari oleh setiap lapisan masyarakat,” katanya ketika ditemui media selepas mengadakan kunjungan hormat kepada Yang Di-Pertua Negeri Sabah Tun Musa Aman di Istana Seri Kinabalu, pada Khamis.
Menjelang ceramah perdananya di Sabah yang akan diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), Mufti Menk mendedahkan intipati perkongsian beliau yang akan memfokuskan kepada aspek pemulihan jiwa dan penyemaian rasa optimis.
“Pada saat dunia berdepan dengan pelbagai cabaran dan negativiti, kita mahu menanamkan rasa harapan dalam hati dan minda masyarakat bagi memberi mereka tenaga baharu untuk memandang masa depan dengan penuh keberanian.
“Matlamatnya adalah untuk memperkasakan orang ramai agar melihat masa depan dengan harapan yang diperbaharui” katanya lagi.
Sementara itu, Mufti Negeri Sabah, Datuk Ustaz Bungsu @ Aziz berkata kunjungan bersama Tokoh ulama antarabangsa tersohor seperti Sheikh Ismail Mufti Menk, adalah bagi mengeratkan silaturahim selain meraikan kehadiran tokoh prolifik itu yang dijemput khas untuk menjayakan program-program keagamaan di negeri ini.
“Kunjungan ini juga membuka ruang kerjasama jangka panjang antara pejabat Mufti dan kerajaan negeri, khususnya dalam menjemput lebih ramai tokoh besar dunia Islam ke Sabah bagi membantu menyemarakkan lagi aktiviti dakwah di negeri tersebut.
“Kita melihat perkembangan dakwah di Sabah dalam tempoh 50 ke 60 tahun ini amat memberangsangkan,” ujarnya.
Beliau berharap kerjasama itu dapat membentuk saf kepimpinan yang mantap untuk terus menyuburkan syiar Islam di sini.






























