Julita Majungki
KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri memandang serius keperluan meningkatkan perkhidmatan kesihatan kritikal di Sabah, termasuk penggantian peralatan usang dan penyediaan kemudahan parkir hospital.
Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk Julita Majungki berkata, kementeriannya melalui Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) telah mengemukakan tuntutan pemantapan perkhidmatan kesihatan negeri pada 2024.
“Tuntutan ini meliputi aspek autonomi, pembangunan fasiliti, peningkatan kualiti perkhidmatan, pertambahan sumber manusia dan perjawatan serta penyediaan bajet yang mencukupi.
“Pemantapan ini dirancang bagi jangka masa pendek, sederhana dan panjang sehingga tahun 2035,” katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah hari ini.
Beliau menjawab pertanyaan Datuk Samuel Wong Tshun Chuen (Luyang) yang meminta penjelasan mengenai usaha dan pendirian Kerajaan Negeri dalam mendesak Kerajaan Persekutuan mempercepat penyediaan kemudahan kesihatan kritikal, termasuk parkir hospital serta penggantian peralatan usang, selain garis masa pelaksanaannya.
Julita berkata, tuntutan tersebut dikemukakan melalui platform Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata, isu dan keperluan perkhidmatan kesihatan Sabah turut dibincangkan secara berkala dalam Mesyuarat Menteri Kesihatan bersama Exco Kesihatan Negeri.
“Hasil daripada usaha dan perbincangan setakat ini, sebanyak 48 projek pembangunan fasiliti serta peningkatan kualiti perkhidmatan telah dan akan dilaksanakan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) dan RMK-13.
“Antara projek tersebut termasuk pembinaan Pusat Jantung Sabah di Hospital Queen Elizabeth II, Pusat Darah Sabah, Klinik Kesihatan Jenis 3 Penampang serta Pusat Pakar Pergigian Sabah.
“Selain itu, pembinaan Klinik Kesihatan Jenis 6 dengan kuarters di Sungai Manila, Sandakan dan di Pulau Sebatik, Tawau, turut dilaksanakan.
“Turut melibatkan perolehan peralatan seperti CT Scan untuk Hospital Kudat dan Hospital Tawau, PET Scan di Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah serta naik taraf rangkaian hospital negeri,” katanya.
Beliau menambah, keperluan penambahbaikan dan penambahan parkir hospital juga telah diluluskan sebagai sebahagian daripada skop projek naik taraf fasiliti kesihatan di negeri ini.
































