Isnin Aliasnih
KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri mengakui kekurangan tapak tanah perkuburan Islam di Kampung Berhala Darat, Sandakan yang kini telah mencapai kapasiti maksimum.
Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Isnin Aliasnih berkata, hanya terdapat tambahan kawasan seluas 0.75 ekar berhampiran tapak sedia ada.
“Namun, keluasan ini masih tidak mencukupi dan tiada lagi kawasan lain yang tersedia di kampung tersebut,” katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah hari ini.
Beliau menjawab soalan Alex Thien Ching Qiang (Tanjong Papat) susulan kebimbangan penduduk mengenai kapasiti tapak perkuburan di Kampung Berhala Darat yang telah penuh.
Isnin berkata, Kerajaan Negeri menyedari keperluan mendesak untuk menyediakan kawasan perkuburan yang mencukupi, khususnya di kawasan berpenduduk padat seperti Sandakan.
Sehubungan itu, katanya, sebuah kawasan perkuburan Islam berpusat telah diperuntukkan di Taman Perkuburan Ar Raudah, Batu 11, Sandakan.
“Kawasan ini melibatkan keluasan 65 ekar dan mampu menampung sehingga 36,400 lot perkuburan bagi memenuhi keperluan masyarakat Islam di Sandakan,” katanya.
Isnin berkata, penyediaan tapak berpusat itu merupakan langkah jangka panjang Kerajaan Negeri bagi menangani isu kekurangan tanah perkuburan di kawasan berkenaan.
Beliau menambah, inisiatif tersebut juga dijangka dapat mengurangkan tekanan terhadap tapak-tapak perkuburan sedia ada yang semakin sesak.
Katanya, Kerajaan Negeri akan terus memantau keperluan tanah perkuburan di seluruh negeri bagi memastikan kebajikan rakyat sentiasa terpelihara.
Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa perancangan jangka panjang amat penting bagi memastikan isu kekurangan tanah tidak berulang pada masa hadapan.
“Kerajaan komited untuk memastikan penyediaan kemudahan asas termasuk tanah perkuburan diberi perhatian sewajarnya,” katanya.
































