Jafry Ariffin
KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri komited memastikan sektor pelancongan kekal mampan dan berdaya saing melalui pendekatan inklusif meskipun berhadapan dengan ketidaktentuan landskap global akibat konflik geopolitik di Timur Tengah.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Jafry Ariffin berkata, sektor itu menunjukkan kestabilan awal pada tahun ini dengan peningkatan ketibaan pelancong antarabangsa sebanyak 17.7 peratus dalam tempoh dua bulan pertama berbanding tahun lalu.
Bagaimanapun, beliau mengakui gangguan global seperti kenaikan kos bahan api dan pengurangan kapasiti penerbangan memberi kesan memandangkan Sabah bergantung lebih 90 peratus kepada pengangkutan udara.
Sehubungan itu, kementeriannya bersama Lembaga Pelancongan Sabah (STB) telah mengambil langkah intervensi sejak Mac lalu dengan menyemak semula strategi promosi dan pemasaran bagi memastikan industri kekal berdaya tahan.
Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan untuk kementeriannya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah hari ini.
Sebagai sebahagian daripada usaha penembusan pasaran antarabangsa yang lebih luas, Jafry menegaskan bahawa pasaran India merupakan antara tumpuan utama dalam strategi promosi luar negara.
Beliau berkata, kementerian melalui STB telah melaksanakan inisiatif promosi aktif termasuk penyertaan dalam pameran pelancongan antarabangsa yang besar seperti OTM Mumbai.
Langkah ini bertujuan untuk memperkenalkan produk pelancongan Sabah secara terus kepada pemain industri dan bakal pelancong dari India yang dilihat mempunyai potensi besar untuk berkembang.
Selain penyertaan pameran, kementerian turut memperkasakan pendigitalan promosi melalui penggunaan platform digital dan media sosial bagi memperluas capaian kepada pelancong dari negara berkenaan.
Mengenai Tahun Melawat Sabah 2027, Jafry menegaskan inisiatif itu merupakan agenda strategik yang akan menjadi pemangkin pertumbuhan ekonomi merentas pelbagai sektor termasuk perhotelan dan logistik.
Satu pelan tindakan komprehensif sedang dirangka dengan fokus kepada pembangunan pakej mampan serta pengukuhan penjenamaan Sabah sebagai destinasi premium berasaskan alam semula jadi.
“Sabah mempunyai kelebihan kompetitif melalui pengiktirafan antarabangsa seperti Taman Kinabalu sebagai tapak UNESCO Triple Crown dan Kinabatangan sebagai rizab biosfera yang menjadi daya tarikan pelancong dunia,” katanya.
Jafry menyeru pendekatan menyeluruh yang melibatkan semua kementerian, agensi, dan pemain industri untuk menjayakan Tahun Melawat Sabah 2027 sebagai agenda negeri.
Menyentuh isu konflik manusia dan hidupan liar, beliau mendedahkan sebanyak 11 kes kematian akibat serangan buaya direkodkan di seluruh Sabah sepanjang tahun 2025.
Walau bagaimanapun, Kerajaan tidak dapat membenarkan pemburuan tanpa lesen kerana ia bertentangan dengan undang-undang sedia ada dan status spesies itu di bawah CITES.
Bagi konflik gajah di Segama, kerajaan melaksanakan pemantauan kolar GPS dan pemasangan pagar elektrik bagi menjamin keselamatan penduduk setempat serta pelawat.
Mengenai pembangunan di Semporna, Jafry mendedahkan statistik membimbangkan di mana 76 peratus atau 144 daripada 190 premis penginapan dikesan beroperasi tanpa lesen sah.
Beliau telah mengarahkan STB untuk hanya mempromosikan 46 premis yang sah bagi mendidik pelancong antarabangsa agar tidak terpedaya dengan operator haram serta menjaga reputasi industri.
Kementeriannya juga telah mengemukakan permohonan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) untuk menaik taraf jeti pelancongan di Kampung Bangau-Bangau bagi meningkatkan keselamatan dan kemudahan pelancong.
Bagi cadangan produk baharu di Pantai Manis, Balung dan Banggi, kementerian sedia meneliti cadangan itu namun menyarankan agar ia diangkat ke Majlis Tindakan Pelancongan Daerah.
Jafry menegaskan pemeliharaan alam semula jadi adalah nadi utama industri pelancongan Sabah yang perlu diimbangi dengan pembangunan lestari demi manfaat rakyat.






























