Jafry Ariffin
KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri menegaskan pendirian tegas untuk tidak berkompromi dengan mana-mana pihak yang menjalankan aktiviti pelancongan secara tidak berlesen, sama ada melibatkan warga asing mahupun tempatan.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Jafry Ariffin berkata, walaupun penguatkuasaan terhadap pengusaha tanpa lesen tertakluk di bawah Akta Industri Pelancongan 1992 [Akta 482] di bawah bidang kuasa Persekutuan, namun kementeriannya sentiasa bekerjasama rapat dengan pihak MOTAC dalam menangani isu tersebut.
Sebagai langkah proaktif, katanya, Kerajaan Negeri telah memberi mandat kepada kementeriannya untuk menubuhkan Jawatankuasa Keselamatan Pelancong Negeri Sabah yang dianggotai pelbagai agensi penguatkuasaan termasuk PDRM, Imigresen, ESSCOM dan Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Samuel Wong Tshun Chuen (Luyang) pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah di sini, hari ini.
Samuel bertanya mengenai tindakan penguatkuasaan, pemantauan dan tindakan senarai hitam terhadap warga asing yang menjalankan operasi tanpa lesen sehingga menjejaskan pengusaha tempatan.
Jafry menjelaskan, kementeriannya turut menubuhkan Pasukan Petugas (Task Force) Menangani Isu Pelancongan Daerah Semporna yang dipengerusikan oleh beliau sendiri.
Menurutnya, penubuhan pasukan petugas itu mengambil kira kedudukan Semporna sebagai hab pelancongan utama yang berhadapan dengan isu kompleks merangkumi aspek keselamatan, imigresen, sosial dan infrastruktur.
Pendekatan bersepadu di Semporna ini akan dijadikan sebagai model rujukan (blueprint) untuk pelaksanaan di daerah-daerah lain di seluruh Sabah pada masa hadapan.
Mengulas mengenai aspek hukuman, Jafry memberi amaran bahawa mana-mana pihak yang mengendalikan perniagaan atau pengangkutan pelancong secara tidak sah boleh didenda sehingga RM500,000 atau penjara sehingga 10 tahun, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan di bawah Akta 482.
Bagi kes melibatkan pelancong asing yang menyalahgunakan pas lawatan untuk tujuan perniagaan haram, tindakan tegas seperti pembatalan pas, pengusiran dan senarai hitam akan dilaksanakan oleh pihak berkuasa yang berkenaan, jelas beliau.




























