Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor tiba untuk menghadiri persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah hari ini.
KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri telah mengeluarkan hampir 40,000 ekar tanah daripada kawasan bekas konsesi Sabah Forest Industries Sdn. Bhd. (SFI) bagi tujuan pewartaan sebagai rizab perkampungan demi manfaat rakyat.
Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Joniston Bangkuai berkata, langkah itu merupakan sebahagian usaha Kerajaan untuk memastikan keperluan tanah bagi komuniti setempat dapat dipenuhi secara terancang.
Beliau menjawab pertanyaan Yusri Pungut (Sindumin) pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah hari ini. Yusri bertanya mengenai dakwaan Kerajaan telah mengeluarkan kira-kira 40,000 ekar tanah daripada kawasan konsesi berkenaan.
Menurutnya, secara khusus, seluas 39,482 ekar atau 15,978 hektar kawasan dalam Hutan Simpan Sipitang (Kelas II) telah dikeluarkan pada tahun 2025 untuk tujuan pewartaan sebagai tanah rizab perkampungan.
“Selain itu, pada tahun 2023, seluas 108.72 ekar atau 44 hektar turut dikeluarkan bagi tujuan yang sama,” katanya.
Beliau berkata, dengan tambahan itu, jumlah keseluruhan kawasan yang telah dikeluarkan kini mencecah kira-kira 39,590 ekar atau 16,022 hektar.

Joniston Bangkuai
Joniston menjelaskan, keputusan untuk mengeluarkan kawasan berkenaan dibuat selepas penelitian menyeluruh oleh Jabatan Perhutanan Sabah.
Katanya, proses itu turut melibatkan sesi libat urus bersama pemimpin masyarakat, ketua-ketua komuniti serta penduduk kampung yang terlibat.
“Beberapa kawasan hutan simpan yang dibubarkan adalah bertujuan untuk memberi manfaat langsung kepada penduduk kampung,” katanya.
Menurut beliau, pendekatan itu mencerminkan komitmen Kerajaan Negeri dalam mengimbangi keperluan pembangunan dengan kebajikan rakyat, khususnya komuniti luar bandar.
Tambahnya, pewartaan tanah sebagai rizab perkampungan juga penting bagi menjamin keselamatan pegangan tanah penduduk tempatan.
Dalam masa sama, beliau menegaskan bahawa setiap keputusan berkaitan pengeluaran kawasan hutan simpan dibuat secara berhati-hati dengan mengambil kira kepentingan alam sekitar.
Katanya, Kerajaan Negeri sentiasa memastikan bahawa sebarang perubahan guna tanah dilaksanakan secara lestari dan bertanggungjawab.
Langkah itu juga dilihat sebagai sebahagian usaha berterusan kerajaan dalam memperkukuh kesejahteraan rakyat serta menyelesaikan isu pemilikan tanah di negeri ini.
Beliau berkata, Kerajaan akan terus menilai keperluan semasa rakyat dan mengambil tindakan sewajarnya bagi memastikan pembangunan yang inklusif dapat dicapai.





























