Donald Peter Mojuntin
KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Moyog, Datuk Donald Peter Mojuntin menegaskan keperluan mendesak untuk Sabah beralih daripada kebergantungan kepada diesel kepada sumber tenaga yang lebih bersih, stabil dan berdaulat bagi menjamin keselamatan tenaga negeri.
Membahas ucapan dasar kerajaan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah hari ini, beliau berkata, realiti semasa menunjukkan Sabah masih bergantung kuat kepada diesel untuk penjanaan elektrik, sekali gus mendedahkan negeri ini kepada risiko ketidaktentuan harga minyak dan rantaian bekalan global.
Menurutnya, dalam keadaan konflik global yang berterusan dan kenaikan harga minyak, Sabah antara negeri yang paling terdedah, apatah lagi kesan kenaikan bahan api itu akan terus dirasai rakyat melalui peningkatan kos sara hidup.
“Seperti yang dinyatakan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof,kenaikan harga minyak memberi kesan langsung kepada kos logistik dan harga barang. Maknanya bila diesel naik, rakyat Sabah yang menanggung beban,” katanya.
Beliau menegaskan, isu tenaga bukan sekadar soal bekalan elektrik, tetapi berkait langsung dengan kos sara hidup apabila kenaikan diesel akan menyebabkan kos elektrik, pengangkutan dan harga barangan turut meningkat.
Mengulas perbandingan dengan wilayah lain, beliau berkata, Semenanjung Malaysia bergantung kepada gas dan arang batu yang lebih stabil, manakala Sarawak telah jauh ke hadapan dengan tenaga hidro yang menyumbang kira-kira 60 peratus kepada penjanaan kuasa.
“Sabah pula masih terperangkap dalam model lama – diesel yang mahal dan tidak stabil,” katanya.
Dalam masa sama, beliau turut membangkitkan isu bekalan elektrik tidak stabil di kawasan luar bandar termasuk di Moyog, selain gangguan bekalan yang masih berlaku serta jurang pembangunan antara bandar dan pedalaman.
Katanya, walaupun kerajaan negeri telah merangka Sabah Energy Roadmap and Master Plan 2040 dengan sasaran tenaga boleh diperbaharui yang jelas, cabaran sebenar kini adalah dari segi pelaksanaan.
“Hari ini kita bercakap tentang solar, hidro dan biomass, tetapi di lapangan masih ada kampung bergantung kepada generator diesel. Inilah jurang antara dasar dan realiti,” katanya.
Sehubungan itu, beliau mengemukakan beberapa cadangan utama bagi memperkukuh sistem tenaga Sabah.
Cadangan pertama ialah pembangunan mini dan mikro hidro dengan memanfaatkan sungai di kawasan berbukit seperti Moyog, Ranau dan Tambunan, yang menurutnya lebih cepat dibina, kos lebih rendah dan sesuai untuk kawasan luar bandar.
Kedua, beliau mencadangkan “revolusi solar Sabah” dengan pemasangan sistem solar di setiap kampung, pemberian insentif pemasangan solar di bumbung rumah serta pembiayaan melalui syarikat berkaitan kerajaan (GLC) sebagai tanggungjawab sosial korporat.
Cadangan ketiga melibatkan penggunaan sistem hibrid dan grid pintar dengan menggabungkan diesel, solar dan bateri serta memperkukuh sistem pengagihan tenaga.
Selain itu, beliau mencadangkan penggunaan gas sebagai sumber peralihan bagi mengurangkan kebergantungan kepada diesel, memandangkan Sabah mempunyai sumber gas sendiri yang lebih stabil.
Dalam masa sama, beliau turut mencadangkan penggunaan biomass daripada industri sawit sebagai sumber tenaga alternatif, yang juga berpotensi membuka peluang ekonomi di kawasan luar bandar.
Bagi memastikan keberkesanan pelaksanaan, beliau menekankan keperluan disiplin pelaksanaan dengan sasaran jelas, termasuk mengurangkan kebergantungan kepada diesel kepada kurang 20 peratus dalam tempoh 10 tahun serta meningkatkan penggunaan tenaga boleh diperbaharui melebihi 50 peratus.
“Kita sudah ada pelan. Sekarang kita perlukan tindakan. Sabah tidak boleh hanya menunggu bantuan Kerajaan Persekutuan, sebaliknya mesti memimpin perubahan ini sendiri,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut membangkitkan isu bekalan air di Moyog yang berdepan kemarau berpanjangan, khususnya di kawasan tanah tinggi yang bergantung kepada sistem graviti.
Menurutnya, walaupun usaha kecemasan seperti penghantaran air menggunakan lori tangki sedang dilaksanakan, ia bukan penyelesaian jangka panjang.
Beliau berkata, keadaan lebih menyedihkan apabila kampung-kampung yang terjejas seperti Kipouvo, Madsiang, Timpoluon dan Babagon terletak berhampiran empangan, namun masih berdepan masalah bekalan air akibat kekangan tekanan, pam dan kapasiti tangki simpanan.
Sehubungan itu, beliau menggesa agar projek Loji Rawatan Air Kampung Moyog bernilai RM40 juta yang telah diluluskan dipercepatkan pelaksanaannya selepas tergendala akibat isu perunding dan kos.
“Ini bukan sekadar isu teknikal, tetapi soal maruah dan kepercayaan rakyat. Bagaimana kita jelaskan kepada mereka tinggal di tepi empangan tetapi masih menunggu lori air?” katanya.
Beliau menegaskan, rakyat hanya mahukan keperluan asas seperti air bersih dan bekalan tenaga yang stabil, dan menjadi tanggungjawab Kerajaan untuk memastikan ia dapat disampaikan tanpa kelewatan.






























