Aksyah Haji Nasrah
KOTA KINABALU: Keputusan Parti Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO) meninggalkan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) perlu dihormati dalam kerangka demokrasi, namun tidak dilihat sebagai ancaman besar kepada kestabilan Kerajaan Negeri.
Aktivis politik, Aksyah Haji Nasrah berkata, pelbagai reaksi yang timbul susulan keputusan itu adalah perkara biasa dalam landskap politik Sabah, malah tidak wajar dianggap sebagai “gegaraan besar”.
“Dalam amalan demokrasi, pintu sentiasa terbuka – baik untuk masuk mahupun keluar. Kita sudah biasa berdepan situasi seperti ini,” katanya ketika mengulas isu tersebut hari ini.
Beliau berkata, reaksi tenang Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor yang juga Pengerusi GRS mencerminkan kematangan kepimpinan yang tidak mudah terheret dalam polemik politik.
Menurutnya, kekuatan sesebuah kerajaan bukan ditentukan oleh jumlah parti dalam gabungan, sebaliknya diukur melalui sumbangan dan pencapaian yang dirasai rakyat.
“Kadang-kadang apabila gabungan itu lebih ramping, ia menjadi lebih fokus dan mampu bergerak lebih pantas ke hadapan,” katanya.
Aksyah menegaskan, perjuangan GRS melalui slogan “Rumah Kita, Kita Jaga” kekal sebagai komitmen besar yang menuntut kesetiaan kepada agenda tempatan, bukan kepentingan peribadi.
Beliau turut menyifatkan Hajiji sebagai pemimpin berpengalaman yang tidak akan mengubah haluan pentadbiran hanya kerana perubahan dalam komposisi politik.
“Fokus beliau kekal kepada Hala Tuju Sabah Maju Jaya 2.0, dengan penekanan terhadap pembangunan ekonomi dan kestabilan negeri, bukannya melayani polemik politik yang tidak berkesudahan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau mengucapkan selamat maju jaya kepada USNO dan menegaskan bahawa perbezaan politik tidak seharusnya membawa kepada permusuhan.
“GRS kekal sebagai tonggak utama kerajaan negeri dan akan terus bergerak ke hadapan. Keriuhan politik ini hanya sementara, sedangkan rakyat mahukan kerajaan yang stabil, konsisten dan terus bekerja,” katanya.
Sehubungan itu, Aksyah mengajak semua pihak memberi sokongan kepada kerajaan sedia ada serta menumpukan kepada usaha pembangunan negeri.






























