Hajiji menyantuni mangsa kebakaran ketika meninjau sendiri kawasan kebakaran di Kampung Bahagia, Batu Sapi, Sandakan hari ini.
SANDAKAN: Kerajaan Negeri telah menyalurkan bantuan segera kepada mangsa kebakaran besar di Kampung Bahagia, Batu Sapi, yang memusnahkan hampir 1,000 rumah dalam kejadian yang berlaku pagi semalam.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, kerajaan negeri amat bersimpati dengan nasib mangsa yang terjejas, sambil menyifatkan kejadian itu sebagai antara kebakaran terbesar pernah berlaku di penempatan berkenaan.
“Hari ini saya turun padang meninjau sendiri keadaan mangsa kebakaran di Kampung Bahagia, Sandakan. Ini adalah satu kebakaran besar yang melibatkan hampir 1,000 rumah musnah,” katanya kepada pemberita selepas melawat kawasan tersebut dan menyampaikan bantuan kepada mangsa di Dewan PPR Batu Sapi, hari ini.

Hajiji turun padang meninjau sendiri kawasan kebakaran di Kampung Bahagia, Batu Sapi, Sandakan hari ini.
Beliau berkata, sebagai bantuan awal, setiap Ketua Isi Rumah (KIR) menerima RM2,000, iaitu RM1,000 bantuan khas daripada Kerajaan Negeri dan RM1,000 daripada Yayasan Kebajikan Sabah.
“Kita berharap bantuan ini dapat meringankan beban mereka dalam menghadapi situasi sukar ini,” katanya.
Selain itu, Pusat Zakat Sabah dan Perbadanan Baitulmal Sabah turut menyalurkan bantuan kepada mangsa yang terjejas.

Hajiji menyampaikan Bantuan Khas Kerajaan Negeri dan Yayasan Kebajikan Sabah kepada mangsa kebakaran Kampung Bahagia di Dewan PPR Batu Sapi (Pusat Pemindahan Sementara) hari ini.
Hajiji berkata, tahap kemusnahan di kawasan tersebut adalah sangat besar, dengan hampir keseluruhan kampung musnah.
Sementara itu, beliau berkata laporan penuh dan terperinci mengenai jumlah sebenar mangsa kebakaran dijangka diperoleh dalam tempoh satu hingga dua minggu.
Mengulas mengenai perancangan pembangunan semula, Hajiji berkata kerajaan negeri sedang meneliti beberapa cadangan termasuk penambakan laut bagi pembangunan perumahan, yang dijangka melibatkan kos yang tinggi.
“Antara cadangan ialah penambakan laut untuk pembangunan perumahan pada masa hadapan, namun ia melibatkan kos yang besar,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berkata kerajaan negeri akan menunggu laporan lengkap daripada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Sandakan serta cadangan daripada Majlis Perbandaran Sandakan sebelum membuat sebarang keputusan lanjut.
“Kita akan terima dahulu laporan daripada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Sandakan mengenai cadangan alternatif mereka. Selepas itu, kita akan ambil tindakan yang sewajarnya,” katanya.
Hajiji turut memaklumkan bahawa enam Pusat Pemindahan Sementara (PPS) telah dibuka bagi menempatkan mangsa kebakaran buat sementara waktu.
Turut mengiringi beliau ialah Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Dr. Haji Mohd. Arifin Mohd. Arif; Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk Julita Majungki; Timbalan Menteri Sumber Manusia yang juga Ahli Parlimen Batu Sapi, Datuk Khairul Firdaus Akbar Khan; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Sr. Safar Untong; Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Dr. Maijol Mahap; Setiausaha Hal Ehwal Dalam Negeri dan Penyelidikan, Jabatan Ketua Menteri, Datuk Ag. Shahminan Ag. Sahari; serta Pengarah Yayasan Kebajikan Sabah, Datuk Diyanah Abdullah.
































