Keadaan di lokasi kejadian. – Ihsan Bomba
SANDAKAN: Kira-kira 1,000 buah rumah atas air di Kampung Bahagia di sini musnah sepenuhnya dalam satu kebakaran besar awal pagi tadi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 1.32 pagi sebelum jentera pertama dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan tiba di lokasi kira-kira 16 minit kemudian.
“Kebakaran melibatkan anggaran 1,000 buah rumah kediaman atas air jenis tidak kekal dengan keluasan keseluruhan dianggarkan 10 ekar dan telah terbakar 100 peratus,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Operasi pemadaman yang melibatkan kekuatan seramai 37 anggota dari BBP Sandakan dan BBP Kinabatangan itu diketuai Komander Operasi Ketua Zon Sandakan, PgB Jasri Ab. Jal.
Turut terlibat ialah 10 anggota Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Karamunting serta bantuan daripada beberapa agensi lain termasuk Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Jurucakap itu berkata, operasi pemadaman berdepan pelbagai cabaran termasuk keadaan jalan yang sempit sehingga menghalang pergerakan jentera ke kawasan kebakaran.
“Selain itu, keadaan air laut yang surut menyukarkan usaha mendapatkan sumber bekalan air terbuka, manakala faktor angin kencang serta kedudukan rumah yang rapat antara satu sama lain menyebabkan api merebak dengan cepat,” katanya.
Menurutnya, pasukan bomba menjalankan operasi pemadaman secara ofensif dan defensif di bahagian kiri dan kanan kawasan kebakaran dengan menggunakan empat aliran sepanjang 1,000 kaki dengan 12 pancutan.
Jentera bantuan dari BBP Kinabatangan pula menggunakan dua aliran sepanjang 400 kaki dengan empat pancutan bagi membantu mengawal kebakaran.
Sumber air diperoleh daripada lori tangki air, pili bertekanan milik Kilang IOI serta sumber air terbuka iaitu air laut.
Kebakaran berjaya dikawal pada jam 8.43 pagi sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 12 tengah hari selepas kerja-kerja ‘overhaul’ dan pemeriksaan keselamatan dilakukan di lokasi.
“Tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian ini,” katanya.
Operasi turut disokong Unit Drone Zon Sandakan bagi membantu pemantauan dari udara sepanjang operasi dijalankan.
































