Madius (duduk, tengah), Richard (tiga dari kiri) bergambar bersama pelajar tamat persekolahan Tingkatan 6 SMK Tenghilan.
KOTA KINABALU: Mentaliti generasi muda masa kini perlukan perubahan daripada ‘job seeker’ (pencari pekerjaan) kepada ‘job creator’ (pewujud pekerjaan).
Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau berkata, para lepasan sekolah atau lulusan mana-mana peringkat pendidikan tinggi tidak lagi boleh bergantung sepenuhnya kepada pekerjaan bergaji atau sektor awam semata-mata seperti lumrah sebelumnya.
Beliau berkata, persaingan sengit untuk mendapatkan pekerjaan mutakhir ini menuntut setiap individu lebih kreatif dalam menjana ekonomi sendiri.
Justeru katanya, setiap individu berinisiatif mempelajari pelbagai kemahiran serta pengetahuan bagaimana untuk menjadi orang yang mampu berdikari termasuk fasih dalam beberapa bahasa utama khususnya English dan Mandarin.
Ujarnya, antara bidang berpotensi untuk diceburi adalah pertanian khususnya pengeluaran makanan memandangkan negara masih mengimpot keperluan bekalan sehingga kini.
Beliau memberi nasihat itu ketika berucap merasmikan Majlis Apresiasi Tamat Persekolahan Tingkatan 6 Kali ke-11 Tahun 2026, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tenghilan di sebuah hotel di sini kelmarin.
Di samping itu, pertanyaan kepada anak-anak juga perlu diubah daripada “di mana mahu bekerja selepas ini”, kepada “apa perusahaan yang kamu mahu buat”.
“Cara kita bertanya terutamanya ibubapa bukan lagi menjurus kepada siapa majikan atau apa pekerjaan anak-anak selepas tamat persekolahan, sebaliknya apa yang bakal mereka usahakan,” tegas beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tamparuli.
Sementara itu Pengetua SMK Tenghilan, Richard David menggesa para lepasan tingkatan 6 yang diraikan terus giat menimba ilmu dan berharap mereka menjadi insan berjaya serta membanggakan keluarga.
Katanya, tamat tingkatan enam hanyalah permulaan kepada langkah selanjutnya dan berharap ketekunan serta kegigihan sepanjang belajar di SMK Tenghilan dijadikan andalan mengharungi cabaran seterusnya.
Pada majlis itu, 50 pelajar masing-masing menerima sijil tamat Tingkatan 6 termasuk beberapa pelajar yang turut menerima sijil pencapaian cemerlang disampaikan oleh Madius.
Turut hadir, wakil Pegawai Pendidikan Daerah, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Tuaran dan Yang Dipertua (YDP) Persatuan Ibubapa dan Guru (PBG) SMK Tenghilan, Welzord Kisil.
































