Hajiji beramah mesra dengan tetamu yang hadir sempena Majlis Kesyukuran dan Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri anjuran Abdul Hakim di Dewan Sri Perdana, Lahad Datu, hari ini.
LAHAD DATU: Lahad Datu berpotensi tinggi sebagai lokasi strategik bagi tapak pelancaran roket atau satelit di rantau Asia Tenggara, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor.
Beliau berkata, dalam tempoh beberapa tahun akan datang, daerah itu berkemungkinan besar dipilih sebagai pusat pelancaran roket bagi rantau ini.
“Insya-Allah dalam dua hingga tiga tahun akan datang, jika tiada halangan, Lahad Datu merupakan lokasi terbaik untuk dijadikan pusat pelancaran roket dan satelit di Asia Tenggara.
“Perkembangan ini akan menjadikan Lahad Datu tumpuan ramai, termasuk pelancong serta saintis angkasa dari dalam dan luar negara. Ia pastinya menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi daerah ini,” katanya ketika berucap pada Majlis Kesyukuran dan Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri 2026 anjuran Datuk Haji Abdul Hakim Haji Gulam Hassan di Dewan Sri Perdana, di sini, hari ini.
Ketua Menteri berkata, Lahad Datu dikenal pasti sebagai lokasi paling sesuai berdasarkan kajian akhir yang dilaksanakan kerajaan negeri bersama Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi.
“Banyak negeri telah melobi untuk menjadi lokasi tapak pelancaran ini, namun hasil kajian mendapati Lahad Datu adalah yang paling sesuai untuk projek berkenaan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menegaskan Kerajaan Negeri akan terus memberi tumpuan kepada pembangunan serta kesejahteraan rakyat di Lahad Datu.
“Saya memang berhasrat untuk melawat Lahad Datu beberapa kali sebelum pilihan raya lalu, namun atas kekangan tertentu saya tidak dapat hadir berkempen di sini.
“Apa yang penting, saya berharap rakyat terus bersatu hati dan membuat pilihan yang terbaik demi masa depan bersama. Kerajaan Negeri kini mempunyai hala tuju yang jelas dan telah melaksanakan pelbagai inisiatif untuk kemajuan Sabah.
“Jangan mudah terpengaruh dengan fitnah atau tuduhan tidak berasas. Sebaliknya, kita perlu berpegang kepada kebenaran dan menilai segala usaha kerajaan secara adil,” katanya.


































