KOTA BHARU: Kerajaan kekal komited meneruskan pelaksanaan subsidi diesel secara bersasar melalui Skim Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) meskipun berdepan lonjakan harga bahan api itu di pasaran global susulan krisis tenaga dunia.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd. Ali berkata, langkah itu penting bagi memastikan kesejahteraan rakyat serta kelangsungan sektor pengangkutan darat awam dan barangan.
“Kerajaan komited untuk meneruskan program penyaluran subsidi diesel secara bersasar sungguhpun berlaku lonjakan harga diesel disebabkan krisis tenaga global susulan konflik Asia Barat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut beliau, subsidi diesel bagi kedua-dua sektor itu disalurkan di bawah kawal selia Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) melalui penggunaan fleet card.
Katanya, di bawah SKDS, sebanyak 33 jenis kenderaan disenaraikan layak menerima diesel bersubsidi, meliputi 10 jenis kenderaan pengangkutan darat awam dan 23 jenis kenderaan pengangkutan darat barangan.
“Syarikat yang diluluskan akan memperoleh fleet card daripada syarikat minyak, membolehkan kenderaan berdaftar menikmati diesel bersubsidi pada kadar RM1.88 seliter bagi pengangkutan awam dan RM2.15 seliter bagi pengangkutan barangan,” katanya.
Armizan berkata, sejak pelaksanaan SKDS bermula 10 Jun 2024 hingga 30 Mac 2026, sebanyak 150,755 syarikat dan entiti telah diluluskan, melibatkan 368,911 kenderaan di seluruh negara.
“Daripada jumlah ini, 93 peratus merupakan kenderaan pengangkutan darat barangan manakala tujuh peratus lagi adalah kenderaan pengangkutan darat awam,” katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa sepanjang tahun 2025, kerajaan membelanjakan sebanyak RM3.45 bilion bagi pelaksanaan SKDS.
“Daripada jumlah itu, RM3.1 bilion diperuntukkan kepada sektor pengangkutan darat barangan dan RM344.05 juta kepada sektor pengangkutan darat awam,” katanya.
Menurutnya, jumlah tersebut tidak termasuk program subsidi diesel lain seperti BUDI Agri-Komoditi, BUDI Individu dan subsidi diesel nelayan.
Armizan berkata, bagi tahun 2026, pelaksanaan SKDS dijangka melibatkan peningkatan ketara perbelanjaan susulan kenaikan harga diesel global.
“Sebagai contoh, harga diesel dunia meningkat daripada AS$93 setong pada 26 Februari 2026 kepada AS$239 setong pada 31 Mac 2026, iaitu lonjakan sebanyak 158 peratus,” katanya.
Beliau berkata, berdasarkan unjuran semasa, keperluan peruntukan subsidi diesel bagi SKDS dianggarkan mencecah RM2.2 bilion sebulan berbanding RM3.45 bilion setahun pada 2025.
Dalam pada itu, beliau menegaskan KPDN akan terus memperkukuh pemantauan dan penguatkuasaan bagi memastikan pelaksanaan SKDS berjalan secara telus dan bebas daripada ketirisan.
“Kita akan terus bekerjasama rapat dengan semua pemegang taruh industri bagi menambah baik mekanisme pelaksanaan dari semasa ke semasa,” katanya.
Beliau turut menggesa semua pemain industri yang layak tetapi belum memohon untuk segera berbuat demikian melalui saluran rasmi yang disediakan.
“Kerajaan kekal komited memastikan dasar penyasaran subsidi dilaksanakan secara seimbang, inklusif dan berkesan demi kestabilan ekonomi negara,” katanya.






























