Dr. Joachim melawat pameran dan gerai jualan.
RANAU: Budaya etnik masyarakat Kadazan, Dusun, Murut dan Rungus (KDMR) harus dipertahankan kerana ia merupakan adat warisan nenek moyang yang menjadi identiti sesuatu kaum.
Timbalan Ketua Menteri I merangkap Menteri Kerja Raya dan Utiliti, Dr. Joachim Gunsalam berkata, kelestarian adat dan budaya sejak turun-temurun wajar dipertahankan dan dikekalkan agar dapat diwarisi golongan muda.
“Generasi baharu khususnya anak-anak cucu dan cicit suku kaum Kadazandusun Murut Rungus (KDMR) juga perlu terus bersatu demi memastikan kelangsungan serta kemajuan bangsa kita diteruskan,” kata ADUN Kundasang itu ketika merasmikan Pesta Sutati (Sungai, Talantang dan Tinagas) di Dewan Terbuka Kelab Sukan Dan Rekreasi Ulu Sugut Ranau, Kampung Wayan, di sini, kelmarin.

Dr. Joachim dan jemputan lain bergambar bersama para Tokoh Etnik.
Dr. Joachim berkata, kepelbagaian budaya merupakan satu keunikan yang perlu dipertahankan dan diraikan bersama.
Menurut beliau, penganjuran program tersebut bersama Restu Mart merupakan satu usaha yang sangat baik dalam memperkasa adat dan budaya masyarakat tempatan di samping merapatkan lagi hubungan sesama komuniti.
Beliau dalam masa sama merakamkan ucapan tahniah kepada pihak penganjur atas kejayaan menganjurkan Pesta Sutati 2026, yang bukan sahaja memartabatkan warisan budaya tetapi turut menyumbang kepada pembangunan ekonomi komuniti setempat.
Dr. Joachim turut menekankan bahawa sektor pelancongan merupakan antara penyumbang utama ekonomi, justeru program seumpama ini perlu dipelbagaikan bagi menarik kehadiran pelancong termasuk dari luar negara.
“Promosikan tempat-tempat menarik yang ada. Kerajaan Negeri akan sentiasa memberikan bantuan melalui Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah” ujarnya.
Dalam pada itu, usaha menaik taraf infrastruktur jalan raya yang sedang dilaksanakan dijangka meningkatkan akses ke kawasan tersebut sekali gus merancakkan kehadiran pelancong.
Pesta yang kini memasuki edisi ketiga itu menampilkan pelbagai aktiviti menarik termasuk Jualan Rahmah, pertandingan makanan etnik, anugerah Tokoh Etnik, pertandingan Sugandoi serta pertandingan kereta lasak 4×4 yang berjaya menarik penyertaan daripada pelbagai lapisan masyarakat.
































