KOTA KINABALU: Sebanyak 290 kertas siasatan berkaitan jenayah komersil dibuka oleh Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu bagi tempoh awal Januari hingga 15 Mac 2026, melibatkan jumlah kerugian RM14.628 juta.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintenden Syed Lot Syed Ab. Rahman berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 214 kes merupakan penipuan atas talian yang menyebabkan kerugian RM11.12 juta.
Beliau berkata, dalam tempoh sama, sebanyak 46 kes melibatkan penipuan pembelian e-dagang kenderaan direkodkan dengan jumlah kerugian RM328,888.
Menurutnya, modus operandi sindiket adalah dengan menyalin iklan kenderaan milik individu yang dijual di media sosial seperti Facebook dan Mudah.my sebelum menawarkan semula kenderaan sama pada harga lebih murah.
“Apabila mangsa berminat, sindiket akan berunding harga dan mengarahkan mangsa ke alamat pemilik asal untuk melihat kenderaan tersebut.
“Pada masa sama, sindiket turut berurusan dengan pemilik kenderaan dan memaklumkan akan menghantar wakil untuk melihat keadaan kenderaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, selepas mangsa melihat kenderaan dan bersetuju untuk membeli, sindiket akan meminta bayaran dibuat terlebih dahulu sebelum penyerahan kenderaan.
“Selepas bayaran dibuat, pemilik kenderaan enggan menyerahkan kenderaan kerana tidak menerima bayaran, manakala sindiket pula akan menghilangkan diri serta menyekat panggilan mangsa,” katanya.
Tambah beliau, siasatan mendapati sindiket bertindak sebagai orang tengah dan tidak akan berjumpa secara bersemuka dengan mangsa mahupun pemilik kenderaan.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah percaya dengan iklan di media sosial, terutama yang menawarkan harga terlalu murah.
“Orang awam juga disaran membuat semakan pemilik kenderaan terlebih dahulu sebelum melakukan sebarang urus niaga,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan orang ramai supaya berhati-hati ketika membuat tempahan penginapan seperti homestay melalui media sosial.
“Semak terlebih dahulu sebelum berurusan dan membuat pembayaran kerana terdapat sindiket yang mengambil kesempatan menipu orang awam terutama di kawasan bandar dan lokasi pelancongan ketika musim cuti sekolah atau perayaan,” katanya.
Beliau turut meminta orang ramai sentiasa berwaspada terhadap pelbagai taktik penipuan dalam talian yang semakin berleluasa.
































