Julita (tengah) bersama anggota UPPM Matunggong selepas majlis pelantikan.
MATUNGGONG: Empat lantikan baharu Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) memperkukuh penyampaian perkhidmatan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Matunggong yang mempunyai jumlah kampung terbanyak di Sabah.
Kawasan itu merangkumi 152 kampung yang diwartakan, dengan 147 daripadanya mempunyai Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK).
Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat (KWKKR) yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Matunggong, Datuk Julita Majungki berkata, penambahan itu menjadikan keseluruhan 12 anggota UPPM di kawasan berkenaan, sekali gus meningkatkan keupayaan pasukan dalam menyelaras tugas serta menyampaikan perkhidmatan kepada rakyat.
Beliau berkata, pemilihan kakitangan dibuat berdasarkan semangat kerjasama dalam komponen Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi memastikan kelancaran gerak kerja di peringkat akar umbi.
Menurutnya, ketua jabatan dan Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) turut diberi kuasa untuk menyelaras serta mengagihkan tugas kepada semua kakitangan supaya setiap tanggungjawab dapat dilaksanakan dengan lebih teratur dan berkesan.
“Semua kakitangan perlu bekerja dengan penuh tanggungjawab dalam membantu kerajaan menyampaikan perkhidmatan kepada rakyat, khususnya dalam memastikan kesiapsiagaan di peringkat lapangan,” katanya pada majlis pelantikan di sini kelmarin.
Dalam pada itu, Julita menegaskan kepentingan semangat kerjasama dalam kalangan kakitangan serta mengingatkan agar tiada pihak menyalahgunakan jawatan untuk mengugut atau memberi tekanan kepada rakan sekerja.
“Amalan kerja yang profesional dan saling menghormati perlu menjadi asas dalam memastikan perkhidmatan kepada rakyat dapat dilaksanakan dengan baik,” katanya.
Turut hadir PPM Matunggong, Epson Kawahui; Penolong Pegawai Daerah Kecil Matunggong, Tinah Maralin; Timbalan Ketua Bahagian Matunggong Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) yang juga mantan ADUN Matunggong, Sarapin Magana; serta Setiausaha Politik kepada Menteri KWKKR, Marius Masain.
































