Rafie menyantuni keluarga Fredline.
KENINGAU: Keprihatinan terhadap nasib golongan memerlukan terus dizahirkan apabila Ketua Pemuda Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Keningau, Rafie Robert turun padang menziarahi sebuah keluarga yang sedang menghadapi ujian hidup di Kampung Gasabon, di sini, semalam.
Kunjungan yang dilakukan bersama Sekretariat Bingkor Membangun Bersama Rakyat (BMBR) itu bertujuan menyantuni keluarga Fredline Michael serta menyampaikan bantuan berupa barangan keperluan dan wang tunai bagi meringankan beban mereka, khususnya menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri.
Rafie berkata, program ziarah seperti ini mencerminkan komitmen berterusan Pemuda GRS Keningau dalam menyemai nilai keprihatinan dan semangat kebersamaan dalam kalangan masyarakat.
“Dalam suasana umat Islam menunaikan ibadah Ramadan dan membuat persiapan Aidilfitri, masih ada keluarga yang diuji dengan kesusahan. Justeru, menjadi tanggungjawab kita untuk membantu mengikut kemampuan,” katanya.
Beliau berharap sumbangan yang disalurkan dapat meringankan beban ditanggung serta memberi suntikan semangat kepada keluarga berkenaan untuk terus tabah menghadapi cabaran hidup.
Rafie berkata, pihaknya akan terus mempergiatkan aktiviti kebajikan dan turun padang bagi memastikan kesejahteraan rakyat, khususnya di kawasan pedalaman, sentiasa diberi perhatian.
“Inisiatif ini selari dengan semangat Ramadan yang menuntut umat Islam memperbanyakkan amalan kebajikan serta membantu golongan kurang bernasib baik,” katanya.
































